Bajet Besar Untuk Produksi Tempatan
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

ONE In A Million merupakan antara program
yang mencatat rating tertinggi.
Stesen 8TV bersedia tawan hati penonton sepanjang tahun 2009 dengan program lebih berkualiti
TAHUN kelima yang progresif, sekali gus menyerlahkan sifat dinamik stesen televisyen 8TV dalam menempuh pelbagai cabaran untuk memantapkan lagi kandungan pengisian program menjelang kedatangan 2009.
Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata, pengisian saluran itu selain membariskan rancangan terbaik dari Hollywood dan Asia turut membabitkan pelaburan besar untuk produksi tempatan.
Tahun 2009 juga kata Izham, memperlihatkan keseimbangan kandungan program apabila produksi tempatan menguasai 50 peratus daripada pengisian keseluruhan, manakala 50 peratus lagi dibarisi program luar.
Menyentuh pengisian kandungan tempatan, Izham berkata, daripada jumlah itu 50 peratus daripadanya akan diisi program berbahasa Cina manakala selebihnya dikongsi bersama program baru berbahasa Melayu dan Inggeris.
“Tahun depan memperlihatkan kesungguhan 8TV untuk mengangkat produksi tempatan dengan membuat pelaburan besar untuk penerbitan dalam negeri.
“Selama lima tahun beroperasi, mencuba pelbagai produksi yang mempunyai idea dan bakat besar serta mampu menghasilkan penerbitan berkualiti dan berbeza maka 2009 akan memperlihatkan 8TV yang progresif.
“Penonton juga bakal menikmati pengisian program yang mempunyai variasi, malah lebih utama barisan rancangan 8TV mempunyai kualiti hebat serta lain daripada lain,” katanya dalam satu temubual bersama Hip, baru-baru ini.
Kata Izham, ketika 8TV diperkenalkan dulu, stesen itu hanya mempunyai 18 peratus pengisian kandungan tempatan namun kepesatan industri penyiaran membuatkan mereka lebih bersedia untuk melabur dari tahun ke tahun.
Seperkara yang membanggakan Izham adalah keberanian 8TV untuk membawa pengisian programnya keluar daripada kepompong kebiasaan dan mengetengahkan idea baru untuk memancing khalayak urban berusia 15 hingga 35 tahun.
Memberikan drama bersiri, Kami sebagai contoh produksi tempatan yang mencipta pengaruh besar kepada industri hiburan, Izham percaya, Malaysia tidak pernah ketandusan skrip yang bagus dan memenuhi kehendak penonton semasa.
Malah katanya, Kami bukan hanya berjaya mencipta fenomena baru kepada industri muzik sebaliknya membuka mata penggiat industri muzik bebas untuk melangkah ke depan tanpa perlu meninggalkan identiti mereka.
“Skrip yang diterima 8TV melangkaui masa, bahkan begitu analitis membuatkan kami berusaha keras untuk membawanya ke depan dan ditangani oleh mereka yang berpengalaman,” katanya.
Izham juga menaruh keyakinan 8TV akan melangkah lebih cemerlang kerana beberapa tahun kebelakangan ini, program yang mereka perkenalkan menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk empat anugerah bagi dua kategori berbeza iaitu Promosi TV dan Pengiklanan/Promosi Filem di Anugerah Phoenix, Singapura.
Penyatuan semua pasukan produksi di bawah Primework Studios Sdn Bhd yang dinaungi Media Prima Berhad juga kata Izham, membuahkan idea besar kerana kepakaran bersama digabungkan untuk menghasilkan produk berkualiti.
“Kolaborasi ini membuka peluang untuk menjana minda mereka yang berpengalaman dalam produksi 8TV lalu dikongsi serta dimanfaatkan dalam penerbitan seterusnya,” katanya.
Bercakap mengenai perjalanan stesen itu sepanjang 2008, Izham berkata, insiden penyanyi Faizal Tahir membuka baju pada konsert ulang tahun 8TV yang lalu turut memberi kesan apabila beberapa program secara langsung terpaksa dirakamkan.
“Perjalanan program seperti One In A Million dan Project Superstar agak terganggu apabila beberapa penaja menarik balik penyertaan. Selama tiga bulan juga perjalanan 8TV terganggu tetapi bermula Julai dan Ogos lalu, situasi kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Antara program yang mencatat rating tontonan tertinggi sepanjang 2008 adalah One In A Million, Kan Cheong Kitchen, Alam’s Story, Field Trip USA dan Ghost.
“Untuk tiga tahun mendatang kami akan mengilhamkan program yang dapat dipasarkan ke luar negara. Memang pasaran luar mempunyai selera tontonan berbeza namun antara kita masih ada titik persamaan.
“Itu yang cuba 8TV cari untuk mencapai formula diterima semua,” katanya menyatakan program seperti Kan Cheong Kitchen, Field Trip USA dan Step Forward sudah berjaya menarik perhatian penonton luar.
Berita Harian