Bukan Sengaja Tak Hadir


Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

MALAM Anugerah Oskar 7 Malaysia anjuran Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) di Hotel Nikko, Jalan Ampang, malam Sabtu lalu menyaksikan trofi Aktres Telefilem Pilihan Juri (telefilem Schizoid) menjadi milik pelakon wanita berkaliber tanah air, Haliza Misbun.

Ternyata, lakonan berkesan Haliza, 35, sebagai wanita yang mencederakan diri sendiri akibat tertekan dalam telefilem Schizoid arahan Along Kamaludin itu berjaya menawan hati barisan juri, sekali gus memilihnya mengungguli kategori berkenaan.

Bagaimanapun, Haliza tidak dapat hadir pada malam itu kerana meraikan majlis pernikahan adik perempuannya, Marlia Misbun yang juga jatuh pada hari sama dengan malam penganjuran anugerah berkenaan.

“Sebenarnya, saya terima jemputan daripada Presiden PPFM, Syed Mohamed Hassan Benyahya yang meminta saya menjadi penyampai anugerah pada malam itu, seminggu lebih awal.

“Tapi, saya tidak memberikan kata putus pada penganjur untuk hadir pada majlis itu kerana secara kebetulan menjadi pengapit majlis pernikahan adik saya selepas solat Isyak pada malam yang sama. Jika tiada urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan itu, sudah pasti saya hadir pada majlis anugerah itu sebagai sokongan kepada karyawan seni lain,” katanya.

Haliza berkata, dia hanya mendapat tahu kemenangannya itu menerusi khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Penerbit Zeel Production Sdn Bhd itu, Fadzil Teh pada malam anugerah berkenaan.

“Fadzil juga memberitahu, dia menerima trofi bagi pihak saya pada malam itu. Selain itu, Awie (Wings) yang juga suami kepada adik saya, Rozana juga hadir pada majlis pernikahan Marlia. Awie juga mengucapkan tahniah pada saya selepas menerima SMS yang memberitahu kemenangan saya daripada orang produksi,” katanya.

Ia juga trofi kelima yang pernah dimenangi Haliza sepanjang pembabitannya sebagai anak seni.

Antara anugerah yang pernah dimenangi Haliza ialah Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Skrin (ASK) 1997/1998 menerusi drama Cinderella; Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Air Mata Ibu); Pelakon Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Odisi) dan Pelakon wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2004 menerusi drama Sumayah.

Dalam pada itu, kata Haliza, tidak pernah terlintas di hatinya untuk menganggap Anugerah Oskar sebagai kelas kedua berbanding anugerah berprestij lain.

“Terus terang, saya sangat menghargai jemputan PPFM itu. Kalau tidak menang sekalipun, saya tetap ingin hadir menyemarakkan majlis.

“Saya juga hadir pada Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini sekalipun saya tidak menang apa-apa anugerah. Pada pandangan saya, kalau artis sendiri tidak memberikan sokongan pada anugerah ini, siapa lagi?

“Jika tidak ada urusan penting, saya akan berusaha untuk menyemarakkan apa saja majlis anugerah yang memartabatkan karyawan seni tanah air,” katanya.

Haliza berkata, Anugerah Oskar adalah anugerah penting untuk memartabatkan orang belakang tabir drama dan filem.

“Anugerah Oskar juga acara yang diiktiraf dan dihormati dalam industri seni tanah air.

Apa yang saya harapkan, anugerah ini berterusan dan menjadi acara tahunan kerana ia dianjurkan persatuan yang juga tulang belakang dalam pembangunan drama dan filem tanah air,” katanya.

Mengulas mengenai majlis pernikahan adik perempuan kelimanya itu, Haliza berkata, majlis pernikahan Marlia berlangsung sederhana tetapi meriah dengan dihadiri kaum keluarga terdekat di kediaman keluarganya di Bangsar, malam Sabtu lalu.

Marlia, 27, yang bertugas sebagai pramugari syarikat penerbangan AirAsia bertemu jodoh dengan ahli perniagaan, Zahiruddin Abu Bakar.

Selain Marlia, empat lagi adik-beradik Haliza ialah Salmah, 38; Othman, 33; Rozana, 30, dan Amanda, 19.

Harian Metro

Leave a Reply