‘Carol Hathaway Sudah Mati’
Susunan Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
Rap
DESAS-DESUS terbaru di Hollywood kini mengatakan hampir semua pelakon drama bersiri ER (Emergency Room) akan disatukan kembali dalam musim terbarunya termasuk watak yang pernah dimatikan sebelum ini kecuali Julianna Margulies.
Margulies yang membawakan watak jururawat Carol Hathaway dalam ER selama enam siri sebelum ini mengumumkan secara rasmi untuk mengundur diri daripada siri berkenaan ketika ia menghampiri penamatnya tidak lama lagi.
Menurut Associated Press, Margulies terpaksa menolak dengan baik tawaran berkenaan kerana terikat dengan komitmen lain dan mahu memberi peluang kepada orang baru dengan cerita baru.
“Saya puas hati dapat meninggalkan watak Carol Hathaway dalam keadaan yang sebaik mungkin pada waktu yang sepatutnya. Saya tidak fikir mampu membawakan watak sama dan membuat yang lebih baik berbanding sebelumnya.
“Sewaktu menerima skrip dulu, saya sudah membayangkan pengakhiran cerita ini dan melakukan yang terbaik supaya dapat meninggalkan kesan kepada penonton.
“Jadi mustahil kita mahu menghidupkannya semula dan memaksa orang terima kehadiran semula pada saat mereka sudah menganggap kita pergi,” katanya.
Walaupun dirayu, namun Margulies yang menjadi pelakon tunggal masih belum memberi persetujuan untuk muncul kembali dalam ER tetap dengan pendiriannya untuk tidak menyertainya semula.
“Tidak dinafikan ER banyak memberi kenangan manis dan menaikkan nama saya di bidang lakonan. Namun sebagai insan biasa, saya juga memerlukan perubahan supaya tidak berada di takuk sama dan berdiri teguh dengan pendirian. Jadi tidak timbul soal patah hati atau tidak memberikan kerjasama,” katanya.
Minggu lalu, Anthony Edwards yang membawakan watak Dr Mark Greene yang hampir maut pada siri lalu juga memberikan persetujuan untuk kembali menyertai siri itu semula. Turut menyertai Edwards, dua lagi pelakon asal ER iaitu Noah Wyle dan Eriq La Salle.
Apa yang berlaku sebenarnya tidak mengejutkan peminat setia siri berkenaan kerana apa saja kemungkinan pertukaran pelakon boleh berlaku.
Namun, satu kemungkinan yang akan menaikkan semula siri ini ialah apabila pelakon ER yang kini menjadi bintang NBC akan muncul kembali menyertai siri ini, sekali gus memberikan impak besar iaitu George Clooney.
Harian Metro