Dee: Jamal Abdillah Lelaki Penyayang


Teks Oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 19 NOV 2008:  Masalah rumahtangga yang dihadapi Jamal Abdillah menerusi perkahwinan terdahulunya iaitu bersama Nor Aina Yusuf serta yang sedang dilaluinya kini dengan Fatimatu Zahra Samad, ternyata tidak jauh bezanya.

Sekaligus ia membuatkan ramai yang bertanggapan bahawa penghibur sepanjang zaman ini masih lagi dibelenggu  masalah dadah serta suka menggunakan kekerasan terhadap kedua-dua wanita yang merupakan ibu kepada dua anak lelakinya - Osama Yamani, 7, daripada Nor Aina dan Ahmad Zaki Yamani, 1 tahun 8 bulan dengan Fatimatu.

Sungguhpun begitu, apakah benar dakwaan yang mengatakan Jamal sebagai seorang yang suami yang tidak bertanggungjawab serta tidak punya rasa kemanusiaan?

Dalam pertemuan bersama bekas isteri pertamanya iaitu Basariah Abdul Latiff atau lebih mesra dengan nama Dee, dia berkata, Jamal adalah seorang lelaki yang baik serta penyayang.

“Dia juga seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab, menghormati orang, tidak suka bercakap hal orang, caring serta romantik. Sayangnya dia sering disalahertikan. Mungkin sebab dia selalu tampilkan dirinya sebagai seorang yang dingin serta tidak mudah didekati, jadi ramai salah faham terhadap dia. Tapi ada sebab dia jadi begitu. Dia selalu rasa rendah diri.

“Maklumlah sebab semua orang tahu dia selama ini berhadapan dengan masalah dadah. Jadi, setiap kali berhadapan masyarakat, dia selalu tidak pasti tentang penerimaan orang terhadap dirinya. Sama ada orang itu suka atau sebaliknya atau berpura-pura dengannya.

“Tapi, percayalah kalau anda berusaha mengenalinya dia sedalam-dalamnya, Jamal Abdillah adalah seorang insan yang gemar berlawak, suka bercerita dan  banyak bercakap. Itulah sebenar-sebenarnya  Jamal yang ramai orang tidak tahu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical Musim 3 di Restoran Borneo Rainforest di Sunway Pyramid, semalam. 

Dee jelas sebab penceraian

Dee yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Kumpulan Perhubungan Korporat & Komunikasi di UEM World berkata, sepanjang berkahwin dengan Jamal juga, dia tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah bersama penyanyi kacak yang memiliki suara emas itu.

“Kami berkahwin selama 8 tahun. Lamakan? Dalam tempoh itu, Jamal tidak pernah pula mengunakan sebarang kekerasan terhadap saya. Sebaliknya, keadaan rumahtangga kami harmoni sekali.

“Mungkin kerana saya ini seorang yang  cukup memahami diri dan keadaannya. Tapi, saya rasa bagi sesiapapun yang hendak mengahwini Jamal, dia haruslah memahami bahawa Jamal mempunyai masalah. Sebagai seorang yang mempunyai masalah, sudah tentulah kita perlu berikan sepenuh tumpuan dan perhatian terhadap dia termasuklah memberikan sokongan dan kekuatan dari sudut semangat, emosi, mental serta spiritual.

“Bukannya kita yang perlu minta perhatian dan tumpuan daripada dia. Kalau ada sesiapa yang mempunyai keinginan sebegitu, tolong jangan letakkan harapan untuk berkahwin dengan Jamal dan kalau berkahwin setakat untuk glamor saja… lupakanlah,” katanya.

Sekalipun mengharungi rumahtangga yang harmoni bersama Jamal, namun Dee turut menjelaskan mengapa perkahwinannya dengan Jamal hanya mampu bertahan selama 8 tahun saja.

“Masa itukan Jamal terbabit dengan satu kes khalwat. Jadi pada masa itu saya rasa biarlah saya lepaskan dia. Apa yang berlaku sudah pun berlaku dan saya tidak mahu toleh ke belakang lagi. Memang dia ada minta saya untuk kembali pada dia. Tapi saya tetap dengan keputusan saya untuk memilih jalan saya sendiri,” jelasnya.

Dee bagaimanapun tidak pasti sama ada penolakannya untuk kembali hidup bersama Jamal membuatkan penyanyi lagi Kekasih Awal & Akhir itu kecewa.

“Tapi, hubungan saya dengan dia masih lagi baik sampai sekarang. Begitu juga dengan keluarga dia. Malah, kalau ada masalah sampai sekarang dia masih lagi hubungi saya dan berbincang dengan saya. Pendek kata dia sudah jadi macam saudara saya sendiri. Saya juga gembira dengan perkembangan barunya sekarang ini. Sejak menetap di Rumah Pengasih, keadaannya  nampaknya semakin bertambah baik,” ujarnya.
 

 

Murai

Leave a Reply