Lancar Album Di Malaysia
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
PELUANG artis Indonesia memasuki pasaran tempatan dianggap tuah. Setiap kali kunjungan artis negara seberang itu ke negara ini, mereka diberi peluang melancarkan album dan membuat persembahan.
Malah penerimaan media di sini juga positif dan terbuka dalam menyokong perkembangan muzik global.
Namun, situasi berbeza diterima artis tempatan apabila melakukan perkara sama ke sana. Akui Pengarah Urusan, Metadome Sdn Bhd, Ferhad Ahmad, sukar artis tempatan meraih sambutan di sana jika tidak mempunyai perancangan rapi termasuk aspek promosi.
Katanya, mengambil contoh kumpulan 6ixth Sense yang bernaung di bawah syarikat rakamannya, kumpulan itu yang pernah ke sana pada tahun lalu gagal dalam menempatkan diri di kalangan peminat muzik negara itu. Berbeza senario di tempat sendiri, kumpulan ini diminati ramai hingga lagu Tak Bisa Memilihmu dan Tanpa popular dimainkan di radio.
“Kurang promosi menjadi faktor kumpulan ini gagal di sana. Namun, tidak bermakna usaha kami untuk membawa artis tempatan ke sana dihentikan.
“Sebaliknya kami sudah mempunyai rakan di sana yang dapat bekerjasama dan membantu dalam menjalankan promosi. Saya sendiri sangat yakin dengan kehadiran artis tempatan yang dibawa ke sana selepas ini mampu menembusi pasaran negara itu,” katanya.
Menjalinkan kerjasama antara dua negara, Ferhad turut memperkenalkan penyanyi baru dari Indonesia iaitu Afgan yang berkesempatan hadir ke Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mengadakan majlis pelancaran album pertama berjudul Confession No 1. Menjadi artis seberang pertama yang bernaung di bawah syarikat itu, Ferhad positif dengan usaha yang dilakukan dapat mengetengahkan bakat baru selain mewujudkan peluang artis kedua negara mempromosi album di luar negara.
Afgan atau nama penuh Afgan Syah Reza, 18, mula meraih perhatian peminat tempatan kebelakangan ini selepas single Terima Kasih Cinta dan Aku Bersujud Padamu sering diputarkan di radio.
Selepas melancarkan album debutnya di pasaran negara sendiri pada Januari lalu di bawah label Wanna B, kini Afgan bersedia mempertaruhkan nasib di sini.
Di samping tarikan vokal dan muzik berentak soul, pop, r&b dan jazz ditampilkan dalam album ini, Afgan juga mempunyai nama unik yang menyerlah personaliti diri. Katanya, nama asalnya yang diambil dari Afghanistan tetapi ditukar kepada Afgan ketika usia mencecah tiga bulan. Afgan bimbang namanya itu menyukarkan dirinya berkunjung ke luar negara khusus Amerika Syarikat.
Dalam album berkenaan memuatkan 13 lagu, Afgan yang menjadikan penyanyi antarabangsa John Legend dan Stevie Wonder sebagai sumber inspirasi termasuk meminati Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Jaclyn Victor turut mempertaruhkan lagu Klise, Entah, Yangku Tahu Cinta Itu Indah, Hanya Ada Satu, Bertapa Aku Cinta Padamu, Sadis, Shanty Lussy, I.L.U, Hilang Rasa dan Biru.
“Salah satu lagu dalam album ini iaitu My Confession dicipta saya sendiri berdasarkan pengalaman cinta lalu. Pengalaman dua kali putus cinta memberikan saya ilham untuk berkarya.
“Mulanya saya tidak menjangkakan sambutan yang hebat daripada peminat di sini tetapi sebaik ke sini, saya terkejut dengan sambutan yang diberikan. Saya yakin, saya dapat sesuaikan diri dengan penerimaan peminat di sini. Sejak bergelar artis, saya belum mempunyai peminat fanatik.
“Terus terang saya katakan saya tidak berniat untuk memasuki bidang nyanyian ini. Namun sebaik menjadi penyanyi, saya tidak mahu berputus asa membina karier nyanyian,” katanya.
Harian Metro