Cap Ayam Promosi Antoo Fighter
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
KEJAYAAN filem baru Antoo Fighter meraih tiga anugerah pada majlis Anugerah Oskar ketujuh, baru-baru ini memberikan makna mendalam kepada pengarah Azizi Adnan atau Chunk.
Menariknya, filem sulungnya itu masih menantikan tayangan umum pada 27 November ini tetapi hasilnya menarik perhatian juri Anugerah Oskar untuk membawa pulang anugerah Efek Visual Filem, Kostum Filem dan 3D Animator Terbaik.
Lebih bermakna, kejayaan ini dikongsi bersama kumpulan muziknya dikenali Cap Ayam. Kata Chunk, ini adalah kejayaan kedua bersama syarikatnya, ImageBox Sdn Bhd selepas pernah menang besar 13 anugerah menerusi drama Skuad Elit dan X-Wave pada majlis anugerah yang sama diadakan pada 2003. Mengenai kumpulan Cap Ayam, Chunk menjelaskan kumpulan ini ditubuhkan khusus untuk mempromosikan filem barunya itu.
Menampilkan empat anggota lain iaitu Asrulhisyam Ahmad atau Black bermain gitar bass, Delaila Adnan (vokalis), Rashidi Rashid (gitar) dan Jebon (dram), kumpulan ini muncul bersama dua lagu berjudul Gempur Antoo Fighter dan Hidup…Satu Perjuangan.
“Pada awal perancangan membuat filem dulu, kami juga berhasrat menubuhkan kumpulan ini. Memberi kelebihan apabila anggota kumpulan ini adalah mereka yang terbabit di belakang tabir filem ini.
“Sebelum ini, saya bersama Black dan Rashidi pernah menimba pengalaman muzik beberapa tahun lalu. Saya pernah aktif bersama kumpulan Super Grass Jelly, Black pula menganggotai Enfiniti Human Frequency manakala Rashidi bersama Silkhamnaz.
“Sepatutnya album soundtrack untuk filem ini dibuat Radhi OAG tetapi memikirkan masa suntuk, kami terbabit dalam pembikinan lagu untuk filem ini. Saya sendiri membuat skor muzik untuk filem dan lagu.
“Sejak kumpulan ini dikenali, ramai yang bertanya mengapa Cap Ayam dipilih sebagai nama kumpulan. Pada saya, ada dua alasan yang menyokong nama kumpulan kami. Pertama, apabila menyebut Cap Ayam, peminat akan berfikir ia adalah jenama tempatan dan tentunya kami berbangga menjadi kumpulan tempatan.
“Kedua, kebanyakan kumpulan muzik masa kini gemar menggunakan nama yang pelik. Lalu, kami berasakan Cap Ayam adalah paling sesuai untuk nama kumpulan kami. Hingga kini menerusi laman web di www.myspace.com, lebih 100 pengunjung dicatatkan sehari yang mendengar muzik kami.
“Daripada respons awal, pengunjung ini menyatakan sokongan dan pujian terhadap lagu kami. Malah ketika ini kami juga menerima jemputan mengadakan persembahan. Terbaru, pada 22 dan 23 November ini kami akan mengadakan persembahan di gerai Harian Metro dan Maxis sempena acara Jomheboh TV3 yang mengambil lokasi di Pulau Pinang.
“Perancangan selepas ini, kami akan terus bermain muzik jika kumpulan ini mampu meraih pendapatan sampingan. Jika tidak, kami hanya fokus pada filem dan program TV kami sendiri,” katanya.
Di samping memenuhi jemputan persembahan pentas, Chunk juga sibuk mengarah drama Awan Dania yang kini ditayangkan di Astro Ria.
Katanya, jadual aktivitinya sibuk hingga penghujung tahun depan dan filem arahan keduanya, Kapoww dengan kerjasama Tayang Unggul Sdn Bhd akan menjalani penggambaran penghujung bulan depan.
Kisah kali ini, Chunk menggambarkan penduduk di negara ini dilanda kehadiran makhluk asing yang cuba menakluk bumi. Tambah malang, anggota Persatuan Superhero Berlesen Malaysia diculik hingga lapan superhero baru yang menggelarkan diri mereka Kapoww muncul.
Anggota kumpulan superhero baru ini mempunyai kelebihan seperti menembusi dinding, terbang dan boleh bertukar menjadi peti ais atau tong sampah. Dalam perancangan, Chunk ingin mengambil ramai pelakon popular seperti Hans Isaac, Dynas, Que Haidar, Nabil dan Zizan. Menariknya, Awie ditampilkan sebagai ultraman yang menggunakan dialek Kelantan.
Selain itu, Chunk diberi kepercayaan untuk mengarah drama terbitan Haliza Misbun berjudul Andartu Terlampau yang memulakan penggambaran pada Februari depan diikuti sekuel Antoo Fighter 2 dan versi drama bersiri pada pertengahan tahun depan. Pada penghujung tahun depan pula, Chunk mahu mengarah filem Koboi Samurai.
“Saya peminat filem komersial seperti Batman dan Star Wars. Sungguhpun begitu saya menghargai filem menekankan aspek seni tetapi saya tidak mahu menipu diri sendiri untuk membuat filem sedemikian.
“Pada saya, filem perlu ada variasi dan saya mahu penonton yang menyaksikan filem saya berasa gembira dan dapat melepaskan tekanan dalam diri. Jangan kata filem saya merapu kerana menerusi filem, ia sebenarnya memberi kesan kepada penonton.
“Lihat filem Star Wars, ia memberikan inspirasi kepada kemajuan sains dan teknologi dalam penggunaan laser untuk perubatan dan kewujudan hologram. Saya bersama Black yang juga rakan kongsi mahu menjadi perintis kepada penonton khusus kanak-kanak yang mungkin menjadi saintis dan mencipta sesuatu yang baru manakala filem ini dijadikan bahan rujukan.
“Dalam konteks filem tempatan, filem seperti Antoo Fighter yang menggunakan bajet RM2.5 juta merangkumi kos imej janaan komputer atau CGI boleh dibanggakan.
“Namun, persepsi filem Melayu hanya ditonton orang Melayu masih berlaku dan ia perlu diubah agar filem Melayu dapat menarik ramai penonton bukan Melayu ke pawagam,” katanya.
Harian Metro