Protes Cara Jinbara


Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


ANGGOTA Jinbara rela membiarkan rambut mereka dipotong lima peminat bertuah demi Aidiladha yang bakal menjelang tiba dan membuktikan bahawa mereka sebenarnya anti-dadah.

Potong rambut bagi meluahkan rasa terbuku di hati mengenai kisah hitam yang dikaitkan dengan kumpulan rock popular ini

ACARA memotong rambut membabitkan anggota kumpulan Jinbara pada 24 November lalu di Pasar Seni menjadi simbolik dan medan meluahkan rasa hati bahawa mereka bukan seperti yang disangka. Ia adalah rentetan kisah hitam yang terpalit mengenai laporan media kononnya salah seorang gitaris mereka ditangkap di utara tanah air kerana penyalahgunaan dadah.

Laporan itu sekali gus mengejutkan gitaris utama mereka, Muhammad Jeffry Johari atau Cepot. Namun, apabila mengaitkan nama Jinbara, bukan Cepot saja yang terasa sebaliknya semua anggota yang lain. Ibarat kerana nila setitik, rosaklah susu sebelanga. Kata vokalis Jinbara, Shamsul Bahtiar Zakaria atau Tia, setakat ini mereka masih menunggu perkembangan lanjut daripada syarikat Warner Music dan seboleh-bolehnya tidak mahu isu membabitkan media ini berpanjangan.

Kumpulan ini mengulangi sejarah yang pernah dilakukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan secara langsung majlis simbolik memotong rambut penyanyi kumpulan Search, Amy dan penyanyi kumpulan Wings, Awie oleh Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat pada tanggal 1 November 1992. Bagaimanapun tujuan dan sebab acara itu berbeza.

Jika Amy dan Awie menyahut cabaran memotong rambut sebagai mematuhi arahan Kementerian Penerangan yang melarang artis lelaki berambut panjang menyertai rancangan hiburan di televisyen, radio dan konsert di seluruh negara, Jinbara pula terpanggil untuk mengorbankan rambut mereka bersempena Aidiladha dan membuktikan bahawa mereka bersih daripada najis dadah.

Hakikatnya mereka begitu berat hati pada mulanya untuk memotong rambut, namun dek pujukan teman dan pihak Warner Music, mereka akhirnya akur.

“Kami mengambil inisiatif ini untuk membersihkan nama gara-gara dituduh menggunakan dadah. Ia sebagai isi hati kami membuktikan kami benci dadah dan tidak terbabit dengan musuh negara ini. Sebelum ini, ketika membuat persembahan pun kami selalu menekankan bahawa kami menentang perkara ini.

“Selalunya juga rambut panjang yang dimiliki anggota kumpulan rock selalu dikaitkan dengan gejala negatif, lalu apabila kami memotong sedikit rambut kami, ia sebagai simbol kami mahu dikenali dengan imej yang bersih dan kemas. Ia satu permulaan dan fasa baru kepada perjuangan seni kami. Ini bukan gimik, sebaliknya ia satu pengorbanan besar kerana rambut umpama mahkota dan imej rock kami sejak dulu.

“Insya-Allah mungkin lepas ini saya akan potong lagi pendek tetapi anggota lain terpulang kepada mereka. Takut pula kalau dipotong lagi pendek, peminat kami lari pula. Perubahan ini akan berlaku, tapi tidak boleh terlalu drastik,” kata Tia yang sudah menyimpan rambut panjangnya sejak dua tahun lebih.

Menurut Tia lagi, akibat laporan media itu juga, ia memberi kesan yang amat jelas kepada Jinbara hingga undangan membuat persembahan berkurangan. Ia juga membabitkan bisnes mereka seperti chalet, penternakan kambing dan ikan air tawar serta industri makanan yang diusahakan mereka.


RAMBUT vokalis Jinbara, Tia sedang diperkemaskan oleh pendandan RAM Studio.

Ditanya apakah Jinbara bersedia untuk melakukan ujian air kencing pada masa akan datang, jelas Tia, jika hal ini dilakukan mereka akan mengumumkan nanti.

“Kami akan memaklumkan kepada media jika merancang ingin melakukan ujian ini dan ia wajar dihebahkan demi membuktikan kami bersih dadah. Tak dinafikan, apa yang berlaku kepada kami menjejaskan periuk nasi kami. Kami masih terasa dan naik bosan ingin menjawab pertanyaan orang mengenai isu itu,” kata Tia.

Acara ini dijalankan membabitkan kerjasama Era.fm dan Warner Music. Simbolik pemotongan rambut ini disempurnakan lima peminat bertuah dan akan diperkemaskan pendandan rambut profesional daripada RAM Studio.

Menerusi radio Era juga satu pertandingan mengarang lirik berdasarkan anti najis dadah dan menggunakan irama lagu Zakiah-Zakiah sedang rancak diadakan. Pemenang akan dipilih tidak lama lagi dan layak menerima gitar berjenama milik Jinbara bernilai RM4,000.

“Kerjasama dengan Era terjalin kerana hubungan kami dengan stesen radio ini sangat akrab. Ia juga satu medium untuk Era membantu kami membersihkan nama. Kami pun memang sangat rapat dengan penyampai radio Era,” kata Tia.

Cepot yang ditemui Hip juga berharap misi dan visi yang mereka perjuangkan selama ini tidak akan berkubur begitu saja. Paling penting mereka memanjangkan amanat pengasas kumpulan Jinbara sendiri iaitu Allahyarham Andy Rahman.

“Hampir 18 tahun mencipta empayar Jinbara daripada tiada apa-apa yang boleh dibanggakan hingga ke peringkat sekarang dan ia menjadi tanggungjawab kami untuk terus memperkasakan amanah Allahyarham Andy Rahman,” katanya yang sudah menyimpan rambut sejak 18 tahun lalu dan keputusan memotong rambut ini antara perkara yang paling sukar untuk dilakukannya.

Info Jinbara

Dianggotai Tia (vokal), Anjang (gitar utama), Akin (bass), Cepot (gitar kedua) dan Ahtan (drum)

Pernah meledak dengan lagu single Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dari album keempat.

Kini berkolaborasi dengan kumpulan Ahli Fiqir menerusi lagu Zakiah Zakiah.

Berita Harian

Leave a Reply