Kareena, Saif Tinggal Serumah


NEW DELHI: Pasangan kekasih Bollywood, Saif Ali Khan dan Kareena Kapoor sudah tidak sanggup berjauhan lagi dan kini memilih untuk tinggal bersama disebabkan sering berjauhan dan sukar bertemu berikutan jadual kerja yang ketat.

Malah, ketika Kareena boleh bercuti, Saif Ali pula terikat dengan jadual lain menyebabkan perhubungan mereka ada kalanya menjadi renggang.

Mereka juga dikatakan sudah terlalu letih kerana terpaksa melakukan perjalanan yang jauh semata-mata untuk bertemu, menyebabkan mereka memutuskan untuk tinggal bersama.

Berikutan itu, Saif Ali dan Kareena membeli sebuah pangsapuri di satu kawasan penempatan mewah di Bandra, New Delhi.

Pangsapuri itu kini dalam proses pengubahsuaian dan dihiasi dengan hasil sentuhan sahabat mereka yang juga aktres, Twinkle Khanna.

“Sebaik saja semua kerja pengubahsuaian siap, mereka bakal mendiami kediaman itu,” kata sumber rapat yang dipetik media tempatan, semalam.

Saif Ali dan Kareena - kedua-duanya berasal daripada keluarga seni - sememangnya sedang asyik dilamun cinta. Malah mereka tidak pernah menyembunyikan hakikat itu dan tidak segan silu mempamerkannya, termasuk ketika muncul di khalayak ramai.

Namun pada masa sama, mereka sering menyatakan yang perkahwinan - yang pertama bagi Kareena dan yang kedua bagi Saif Ali - tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat.

Tetapi, kalangan penggiat industri perfileman Bollywood meramalkan pasangan kekasih yang sepadan itu bakal menjadi suami isteri tahun depan.

Saif Ali sendiri pernah menyatakan yang beliau sememangnya tidak sabar untuk memperisterikan Kareena secepat mungkin, apatah lagi sudah mendapat restu keluarganya.

Kareena sebaliknya meminta bintang Hum Tum itu sabar menunggu kerana kariernya sedang melonjak terutama dengan kedudukannya sebagai aktres yang menerima bayaran paling tinggi.

Pasangan itu mula rapat sejak menjalani penggambaran filem Tashaan yang mendorong Kareena meninggalkan kekasihnya ketika itu, Shahid Kapoor.

Saif Ali, sebelum ini pernah berkahwin dengan Amrita Singh yang 10 tahun lebih tua daripadanya sebelum bercerai. - Agensi

Berita Harian

Leave a Reply