Populariti Atasi Kontroversi


Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

PEMBIKINAN filem Aduh Saliha yang separuh jalan dan penyebaran gambar intimnya bersama teman lelaki di Internet yang heboh diperkatakan, tidak sedikit pun mematahkan semangat pendatang baru, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin (Sarah) untuk terus mencari tapak di persada seni tanah air.

Malah, duta Silky Girl yang mencecah usia 23 tahun semalam (1 Disember) tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Sekalipun kesal dengan penyebaran gambar bersama teman lelakinya yang juga model dan finalis Hero Remaja 2007, Ammar Alfian Aziz (Ammar) itu, Sarah mengakui dia tidak pernah menyorokkan dirinya daripada peminat dan pihak media sampai sekarang.

“Saya tidak fikir pun itu gambar ‘panas’ kerana kami masih berpakaian. Apa yang nak ditakutkan? Bagi saya gambar itu biasa saja dan bukannya gambar bogel atau babak ranjang? Hanya orang saja yang fikir bukan-bukan.

Pada peringkat awal, saya memang terkejut apabila gambar saya dan teman lelaki disebarkan secara meluas di Internet.

“Kawan-kawan rapat pula meminta saya buat tidak peduli saja apa kata orang mengenai gambar itu.

“Memang ibu bapa saya marah dengan penyebaran gambar itu dan sebagai anak sudah menjadi tanggungjawab saya memberi penjelasan kepada mereka,” katanya.

Pada masa sama, Sarah berkata, penyebaran gambar peribadinya itu dilakukan pihak yang ingin menjatuhkan nama baiknya.

“Memang itu gambar saya dan teman istimewa, Amar. Buat apa saya nak menipu peminat? Kami baru berkawan tujuh bulan dan hubungan kami juga serius. Tapi kami belum merancang untuk berkahwin.

“Apabila gambar itu tersebar di Internet, Ammar lebih suka berfikiran positif dan dia sentiasa menyokong saya. Ammar juga mahu kami menghadapi situasi sukar ini bersama-sama.

“Saya yakin pihak yang berkenaan itu ingin menjatuhkan nama baik saya kerana gambar itu turut disebarkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Bagaimana kami ingin mengambil tindakan kerana tidak tahu siapa dalang yang melakukannya? Saya juga tidak tahu sama ada mereka masih menyebarkannya lagi atau tidak?,” katanya.

Sarah ditemui ketika menjayakan pertunjukan fesyen 20 Yang Anggun majalah Eh sempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW 2008) di The Garden Hotel & Residences di sini, Sabtu lalu.

Mengulas mengenai perkembangan filem Aduh Saliha pula, Sarah berkata, dia masih tidak mendapat maklumat lanjut mengenai rancangan penerbit untuk menyambung penggambaran filem berkenaan.

“Pembikinan filem Aduh Saliha baru membabitkan 20 peratus. Saya difahamkan filem itu tertangguh kerana penerbitnya tidak ada bajet. Bukan salah saya filem itu tertangguh sebaliknya kerana masalah bajet.

“Pada April tahun lalu, penerbit ada memberitahu saya mengenai perancangan mereka untuk menyambung penggambaran filem ini tetapi akhirnya terus senyap begitu saja.

“Sebagai pelakon baru yang memegang watak utama bergandingan dengan Mawi, sudah pasti saya berasa kecewa kerana sudah menunggu sekian lama,” katanya.

Bagaimanapun, kata Sarah, dia meminta orang tidak membandingkan karakter Saliha (watak gadis baik) dalam filem itu dengan dirinya yang sebenar.

“Saliha adalah karakter dalam filem Aduh Saliha dan Sarah pula adalah Sarah, kami adalah dua individu berbeza.

Jika filem Aduh Saliha disambung nanti, saya bersedia untuk berlakon jika tidak ada komitmen lain. Saya juga tidak kisah bergandingan dengan Mawi yang bakal bergelar suami kepada Ekin kerana sudah anggap dia seperti abang saya,” katanya.

Lebih memberangsangkan, kata Sarah, tawaran berlakon tetap mencurah buatnya sejak kebelakangan ini.

“Pengarah masih beri kepercayaan kepada saya kerana mereka menilai dari segi bakat dan bukan kontroversi yang ditimbulkan itu.

Sebenarnya saya baru selesai penggambaran filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie bergandingan dengan Nabil Raja Lawak. Saya pegang watak utama, Natasya di sisi Nabil.

“Nampaknya, Aduh Saliha bukanlah filem pertama sebaliknya orang akan menilai bakat lakonan saya menerusi Lu Pikirlah Sendiri De Movie arahan Aminah Rhapor yang dijangka menjengah pawagam tahun depan.

“Selain berlakon watak pembantu yang juga anak orang kaya bernama Zita dalam drama bersiri 26 episod, Dendam untuk TV3, saya juga dapat tawaran buat drama bersiri 26 episod Kisah Yusof pada minggu depan. Tidak ketinggalan, saya juga menjadi pelakon undangan untuk drama Renjis dan Pepaya.

“Saya juga dapat tawaran berlakon filem tapi buat masa ini terpaksa menolaknya kerana bakal menyambung pengajian peringkat ijazah tahun depan,” katanya.

Minat macam manapun pada bidang komersial dan lakonan, pemegang Diploma Pengurusan Hotel, UiTM ini tetap memberi keutamaan kepada pelajarannya. Apa yang penting, dia ingin membawa pulang segulung ijjazah seperti yang dicita-citakan.

“Saya akan menyambung pengajian peringkat ijazah tahun depan. Selain itu, saya berlakon dan buat komersial kerana minat dan pada masa sama untuk mempunyai ‘duit poket’ sendiri. Apapun, saya masih tinggal bersama keluarga dan masih di bawah tanggungan mereka,” katanya.

>Profil

NAMA: Puteri Sarah Liyana

NAMA PENUH: Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin

TARIKH LAHIRr: 1 Disember 1985

ASAL: Dilahirkan di England dan dibesarkan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru

KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik

KETURUNAN: Melayu, Pakistan (bapa) dan Siam (ibu)

PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Hotel, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

KOMERSIL: DiGi, F&N, AG2000 dan Nivea

DUTA PRODUK: Silky Girl

DRAMA: Kawan, Dunia Anita, Puteri, Dendam

FILEM: Lu Pikirlah Sendiri De Movie dan Aduh Saliha (belum selesai penggambaran)

Harian Metro

Leave a Reply