Kecewa Kutipan Antoo Fighter


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


RADHI (depan) diberi tanggungjawab menjayakan watak utama.

MENJADI harapan Ahmad Puad Onah, filem aksi komedi terbaru terbitannya, Antoo Fighter: Amukan Drakulat bakal mencatat kutipan memberangsangkan apabila ia mula menemui penonton di seluruh negara pada 27 November lalu.

Sayangnya, selepas tiga hari pertama tayangan, filem sulung arahan Azizi “Chunk”ῠAdnan itu hanya mampu mengaut sekitar RM700,000. Bagi Puad, kutipan itu memang di bawah jangkaan berikutan persembahan yang dikira cukup segar dan berbeza disalurkan menerusi filem terbabit.

Dia menjangkakan, pungutan RM1 juta boleh dilakukan oleh Antoo Fighter dalam masa tiga hari pertama tayangan. Namun, jumlah itu hanya mampu dicapai, katanya, mungkin selepas hari keempat. (Ketika artikel ini ditulis, Puad masih menunggu jumlah kutipan hari Ahad dan dia meramalkan, pungutan itu mencapai RM1 juta selepas tayangan hujung minggu).

“Jumlah RM700 ribu lebih itu pada hakikatnya kurang menggembirakan saya. Sepatutnya, dalam masa tiga hari saja ia sudah boleh mengaut sejuta ringgit.

“Bukan memberikan alasan, tetapi saya perhatikan, hujan lebat yang turun sejak akhir-akhir ini menghalang orang ramai untuk keluar menonton. Seterusnya, kutipan filem kami juga turut terkesan,”ῠkatanya yang memberitahu, Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang masih menjadi kawasan utama dari segi kutipan.

Begitupun produser itu yakin, pola pungutan tiket filem terbabit akan berubah sebaik saja Antoo Fighter memasuki pusingan minggu kedua tayangannya. Dia percaya, sambutan lebih baik bakal diterima filem yang banyak menerima sentuhan teknologi imejan janaan komputer (CGI) itu.

“Selagi musim cuti sekolah belum habis, selagi itulah harapan kita masih ada untuk menyaksikan filem ini mencatat kejayaan di box office. Masanya masih ada untuk kita berbuat demikian. Paling tidak, pungutan RM2 juta berada dalam tangan,” katanya sambil memberitahu, selagi filem berkenaan mempunyai 15 peratus penonton dalam sesebuah panggung yang menayangkannya, pihak pemamer tidak boleh menghentikan putaran hariannya.

Menurut Puad, kutipan yang diterima setakat ini dilihat agak perlahan bagi sebuah filem besar seperti Antoo Fighter. Namun, jika kutipan berkenaan dilakukan filem lain, dia tidak berasakan pungutan terbabit mengecewakan.

“Contohnya, filem Budak Kelantan yang terlebih dulu menemui penonton mencatat pungutan sekitar RM750,000 apabila tamat tempoh tayangan. Ia dikira baik bagi sebuah filem kecil yang dihasilkan dengan kos tidak sampai setengah juta. Tetapi, Antoo Fighter dihasilkan dengan belanja lebih RM2 juta. Jadi, dengan sendiri, jangkaan kita ia harus mengaut kutipan lebih besar,”ῠkata Ahmad Puad.

Dalam perkembangan terbaru, Antoo Fighter telah berjaya memungut RM1 juta selepas empat hari tayangan.

INFO:

Antoo Fighter yang dilakonkan Radhi OAG, Awie, Bront Palarae, Nasrizal Ngasri, Harun Salim Bachik, Scha dan ramai lagi, bukanlah filem terakhir terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) bagi tayangan 2008.

Pada 11 Disember ini, sebuah lagi filem yang diterbitkan secara usaha sama bersama KRU Studios, Cicak-Man 2: Planet Hitam akan memasuki pawagam. Filem aksi komedi itu sekali lagi menampilkan pelawak nombor satu negara, Saiful Apek, sebagai teraju utama.

Kemudian, pada 29 Januari 2009, filem Sifu & Tonga yang diterbitkan dengan kerjasama Line Clear Motion Pictures akan menemui penonton. Filem itu juga dilakonkan Apek, cuma kali ini diperkuatkan dengan kemunculan Raja Lawak, Nabil.

Antoo Fighter yang ditayangkan di lebih 60 panggung seluruh negara mengisahkan sekumpulan hantu jembalang mengganas di Kuala Lumpur. Diketuai Drakulat Van Listerooy (Awie), kumpulan berkenaan menjadikan Menara Kuala Lumpur sebagai markas mereka untuk menghidupkan semula Lord Sharon, sebelum impian menguasai dunia tercapai.

Untuk berbuat demikian, mereka memerlukan darah gadis terpilih. Usaha jahat kumpulan hantu berkenaan kini hanya mampu dihalang oleh sekumpulan lima anak muda yang diketuai Poh Jee (Radhi). Mereka yang dikenali sebagai Antoo Fighter ialah pewaris kepada unit penghalang jembalang yang berusaha menyelamatkan dunia setiap 60 tahun sekali.

Berita Harian

Leave a Reply