Saiful Bintangi Filem Thailand
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
Rap
KARAKTER lawak dan diri Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff atau popular dengan panggilan Saiful Apek amat sinonim hinggakan apa saja filem dilakonkan, pasti dia membawa watak sama.
Apa yang boleh dikatakan, bakat lawak lelaki berusia 39 tahun ini sangat besar. Walaupun genre ‘komedi’ sandaran utamanya, paling penting Saiful Apek kini berjaya mendapat kepercayaan pengarah dari luar negara membintangi filem mereka.
Saiful Apek akan muncul dengan filem terbaru, The Wedding Game arahan sutradara dari Thailand, Ekachai Uekrongtham. Dalam filem itu, Saiful Apek membawa watak Syed yang tetap berlandaskan komedi dan akan ditayangkan pada 25 Januari sempena Tahun Baru Cina.
Menceritakan perihal lakonannya, bapa kepada dua anak ini berkata, sekalipun wataknya tidak banyak tetapi paling menyeronokkan pengarah suka. Menurutnya, apa yang ditonjolkan untuk watak Syed itu ternyata tiada masalah bagi Ekachai menerimanya.
“Saya ambil tawaran berlakon The Wedding Game kerana mahu pengalaman bekerja dengan produksi luar. Ini kerana, sekarang adalah masanya untuk saya lebih terbuka bekerja dengan produksi luar demi perkembangan karier seni yang diceburi.
“Tidak kisah sama ada babaknya banyak atau sedikit, yang penting, kepercayaan orang pada bakat saya. Bagi filem The Wedding Game yang dibintangi rata-rata pelakon Cina, ia memang memberi cabaran besar. Maklum sajalah, bahasanya Mandarin.
“Namun, itu bukan alasan untuk tidak mencuba kerana saya sukakan genre kisah cinta. Lagipun, bekerja dengan Ekachai mudah asalkan faham kehendaknya. Dari segi kesungguhan bekerja pula, lebih kurang sama dengan pengarah di tanah air,” katanya.
Saiful yang juga bergelar pengarah melalui filem sulungnya, Shh… Dia Datang berkata, di lokasi Ekachai memanggil namanya ‘cicak’. Katanya, barangkali Ekachai pernah menonton Cicakman bahkan, mungkin atas sebab itu juga dia berminat memberi tawaran itu kepadanya.
“Untuk The Wedding Game, saya menjalani penggambaran selama tiga hari di Melaka. Sepanjang penggambaran itu, kerjasama diterima antara pelakon dan kru produksi sangat baik. Malah, pengalaman berlakon pun cukup hebat.
“Bayangkan, walaupun diketengahkan dengan watak komedi tetapi ia kuat. Kiranya, biar kelakar tetapi penonton mendapat mesejnya. Paling menggembirakan, ketika menjayakan babak kejar-mengejar dengan bas iaitu heroin ada di dalamnya.
“Sebagai bekas kekasih heroin, Sue lakonan aktres Singapura, Fann Wong, saya perlu membatu hero, Jack yang dilakonkan Christopher Lee untuk menambat hati kekasihnya. Justeru, kemunculan yang seketika itu memang gamat dan lucu,” katanya.
The Wedding Game menyingkap kebenaran di sebalik perkahwinan selebriti popular. Ia mengisahkan Jack melamar Sue di khalayak ramai ketika siaran langsung satu acara anugerah. Sue, meskipun terkejut namun tetap gembira dan menerima lamaran itu.
Sue juga sedia berkongsi kebahagiaan dengan peminatnya yang saban waktu mengikuti kisah percintaannya. Bahkan publisiti media diraih sangat luas. Namun, apa yang tidak diketahui orang ramai, keseluruhan kisah cinta mereka.
Sebenarnya, ia hanyalah sekadar rekaan yang dirancang halus dan terperinci oleh pengurus mereka, May dan Tom bagi membantu perjalanan kerjaya kedua-dua selebriti itu. Babak lakonan mereka diteruskan dan mereka yakin tidak kerugian apa-apa.
Sekalipun sudah menandatangani perjanjian praperkahwinan bagi melindungi diri dan aset masing-masing, satu kejadian tidak disangka meragut kepercayaan peminat dan media. Mereka meragui kebenaran cinta itu. Jadi, apakah kisah selanjutnya?
Walaupun sibuk sebagai pelakon, pelawak, pengarah dan juga penyampai radio, Saiful juga mempunyai minat mendalam dalam nyanyian. Dia akan muncul dengan album solo tidak lama lagi.
Pelawak yang dicungkil bakat menerusi Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 itu berkata, setakat ini, kira-kira 90 peratus penghasilan albumnya sudah siap dan akan dipasarkan Mac nanti.
“Walaupun aktif berlakon dan sudah jadi pengarah, saya tidak nafikan minat pada nyanyian tidak pernah luput. Saya akui sangat minat bermain gitar dan enggan bakat ini diketepikan begitu saja. Jadi, biarlah saya muncul dengan album untuk asah bakat nyanyian.
“Ini kiranya album solo saya dan ia memuatkan 10 lagu. Saya juga ada menyumbangkan penulisan lirik dan turut memuatkan dua lagu bonus, Ubat dan Aspalela. Justeru, saya berharap album ini diterima peminat biarpun pasaran tidak menentu,” katanya.
Harian Metro