Jawablah!: Nafi Pergunakan Mawi
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Program istimewa Mawi dan Ekin yang disiarkan Astro membuatkan penonton jemu.
Astro dakwa buat ulang siar sebab ramai penonton tidak sempat menonton majlis perkahwinan dan persandingan Raja SMS
BUKA mana-mana saluran Astro ketika ini, pasti akan dapat melihat program trailer atau promo mengenai kisah cinta pasangan pengantin baru, Mawi dan Ekin. Bukan sekali dua, malah sentiasa berulangan bagi memberitahu penonton supaya tidak terlepas peluang menyaksikan kisah di sebalik percintaan mereka itu.
Program istimewa pasangan itu berterusan apabila stesen televisyen berbayar itu menayangkan hari bersejarah dan Mawi dan Ekin dalam saluran yang berbeza. Untuk majlis pernikahan, program itu disiarkan di Astro Oasis, persandingan di Kulai, Johor pula di Astro Prima manakala resepsi dan acara kemuncak kepada majlis perkahwinan Wedding Of The Year ini yang bakal berlangsung di Palace Of The Golden Horses Ahad ini pula menjadi hak ekslusif Astro Ria.
Tidak cukup dengan itu, disiarkan konsert Fantasia dan konsert mingguan Akademi Fantasia yang menyaksikan jejaka dari Felda Taib Andak ini bergelar juara. Dan gara-gara kekerapan pihak Astro menyiarkan program seperti ini, timbul rungutan yang mengatakan ada yang jemu dan muak dengan program sebegitu.
Malah menerusi ruangan Normah Becok, Jumaat lalu mendakwa Astro bagaikan ketandusan program sehingga terpaksa menyiarkan program sedemikian walaupun menyedari kebanyakan bosan apabila disogokkan dengan program yang tidak mendatangkan manfaat buat mereka.
Namun perkara ini disangkal Ketua Perniagaan Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh sambil menyifatkan tidak salah buat mereka meraikan perkahwinan Mawi dan Ekin dengan cara seperti itu kerana majlis perkahwinan pasangan ini adalah satu acara yang besar dan penuh gemilang buat stesen berkenaan.
Hip: Dalam ruangan Normah Becok Jumaat lalu, Astro ditegur kerana kerap sangat menyiarkan program kisah cinta Mawi dan Ekin. Apakah Astro sudah ketandusan program?
Khairul: Bagi kami, program perkahwinan Mawi dan Ekin adalah acara besar kami pada hujung tahun apatah lagi status Mawi sebagai penyanyi paling popular. Namun dengan penyiaran program itu, tidak bermakna kami ketandusan program menarik. Ada banyak banyak program menarik yang kami siarkan termasuk, Sehati Berdansa, Raja Lawak serta program baru di bawah naungan jenama Astro Megadrama seperti, Awan Dania, Rona Roni Makaroni, Sofea Zahra, Renjis 2, Katanya AF (Ria), Mertua vs Menantu, Delima, Dua Kali Aku Mencintaimu (Prima) dan juga dokumentari Alexander Bukan Dzulkarnain (Oasis). Astro turut menawarkan banyak program baru, bahkan penggal ini adalah penggal di mana bilangan program baru yang tertinggi sepanjang tahun. Perkahwinan Mawi dan Ekin bukanlah satu-satunya program Astro pada penggal terakhir 2008.
Hip: Apakah pentingnya program ini sehingga perlu ditayangkan berulang kali sedangkan penonton membayar untuk melihat program yang mereka inginkan.
Khairul: Bukan saja program membabitkan Mawi tetapi juga program yang lain. Seperti yang pernah dijelaskan, kami buat ulang tayang kerana kami ingin memberi peluang kepada mereka yang tidak sempat menyaksikannya secara langsung. Kami memberi pilihan dan keselesaan kepada pelanggan menonton di masa lebih sesuai. Bermakna memberi waktu yang lebih fleksibel. Namun dengan menyiarkan ulang tayang ini, tidak bermakna mengurangkan program baru di Astro.
Hip: Bukan setakat program perkahwinan tetapi ada banyak program berkaitan Mawi diulang siar contoh Konsert Fantasia Mawi dan Konsert AF. Komen sikit
Khairul: Kalau kita lihat, Konsert AF 3 menjadi titik tolak di mana Mawi dari Kampung Felda Taib Andak di temui dan dinobatkan sebagai juara. Ia acara yang cukup signifikan dalam karier Mawi, manakala Konsert Fantasia Mawi adalah konsert terbesarnya apabila dia turut digandingkan dengan M Nasir dan Jamal Abdillah. Kami menyiarkan program ini untuk mengimbas kembali kejayaan yang diraih Mawi sempena hari bersejarah dirinya.
Hip: Apa juga perlunya menyiarkan program Trek Selebriti Ekin? Apakah hanya kerana dia isteri Mawi maka diberi keistimewaan untuk terbabit dalam program itu?
Khairul: Sebelum ini mungkin tidak ramai tahu mengenai gadis yang dikaitkan dengan Mawi. Bagaimana kehidupannya? Adakah dia sama dengan apa yang selama ini didengar. Kami dapat maklum balas mengatakan ramai yang ingin mengetahui siapa Ekin. Atas alasan itu saya rasa program Trek Selebriti Ekin sesuai ditayangkan.
Hip: Apabila program seperti ini terlalu kerap disiarkan, Astro dilihat mempergunakan Mawi dan terlalu mengkomersialkan majlis perkahwinan pasangan itu?
Khairul: Saya rasa tidak. Kami tidak jual acara ini kepada penaja yang beli waktu penyiaran keseluruhan. Kami hanya buat liputan terperinci saja iaitu acara akad nikah pada 20 Disember lalu hingga majlis makan malam pada 11 Januari. Semua yang kami lakukan ini hanya untuk tatapan peminat Mawi dan pelanggan Astro.
Hip: Adakah majlis pada 11 Januari nanti bersifat eksklusif dan tidak mengundang stesen televisyen lain membuat liputan kerana ada yang merungut mengatakan tidak semua orang ada Astro dan mereka teringin menyaksikan majlis itu?
Khairul: Nampaknya begitulah. Sekali lagi ingin saya jelaskan di sini supaya tiada pihak yang keliru. Hak eksklusif menyiarkan acara pada 11 Januari ini yang berlangsung di Hotel Palace of the Golden Horses hanya milik Astro, dengan bekerjasama dari RTM. Jadi, untuk mereka yang tidak mempunyai Astro dapatlah menontonnya di saluran RTM pada masa yang ditentukan oleh pihak RTM.
Berita Harian