Archive for the ‘Fauzi Nawawi’ Category
Dengarnya…: Amyza Merindui Sehati Berdansa
PERTANDINGAN realiti Sehati Berdansa sudah pun menemui detik kemuncaknya. Tahniah Cik Normah nak ucapkan kepada pemenang, pasangan Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang bagi Cik Normah memang layak untuk merangkul gelaran juara.
Bukan menidakkan kemampuan Amyza Aznan dan Khairil Izhar, cuma mungkin nasib kurang menyebelahi mereka apabila beberapa pergerakan yang dirancang kurang menjadi pada malam kemuncak pertandingan.
Cik Normah tidak mahu mempertikai siapa berhak siapa tidak untuk menang, walaupun ada ketika Cik Normah sendiri sangsi dengan ketelusan format penjurian.
Cuma satu hari itu, teman Cik Normah bertemu Amyza dan suaminya. Borak punya borak, Amyza pun berbisik, betapa dia rindu suasana di belakang pentas.
Begitu seronok dia bercerita pengalaman sepanjang menjayakan Sehati Berdansa. Biarpun tewas, nampak kepuasan yang dia dan suaminya peroleh sepanjang pertandingan berlangsung.
Amyza memberitahu selama sembilan minggu kediamannya menjadi tempat persinggahan peserta lain untuk sama-sama menonton program itu. Selama itu jugalah, Amyza menjadi hos memasak segala makanan yang mahu dijamah ketika menonton bersama.
Menyinsing lengan Amyza setiap Sabtu di dapur menyiapkan pelbagai hidangan. Tapi katanya, seronok kerana itu saja masa yang mereka ada untuk berkumpul bersama. Apabila sudah sibuk dengan penggambaran, susah untuk mereka lepas bersama.
Mungkin itu yang membuat dia dan suami rindu bila Sehati Berdansa sudah tamat. Apa boleh buat Amyza, setiap yang mula pasti akan ada akhirnya. Cuma yang Cik Normah tahu, Amyza makin laku sekarang ni.
Siap dapat tawaran jadi jurucakap untuk satu produk pelangsingan badan lagi. Itulah yang dikatakan rezeki. Selepas ini bolehlah Cik Normah tengok Amyza berbaju ketat semula. Sebelum ini dia agak risau, maklum perut tak turun lepas melahirkan anak kedua.
Berita Harian
Ifa Idam Program Sendiri
Oleh NOR AKMAR SAMUDIN
akmar@hmetro.com
Rap
PERMULAAN tahun baru 2009 yang sangat baik buat Ifa Raziah, 33, apabila menerima khabar gembira dia antara penyampai program Wanita Hari Ini (WHI) yang masih dikekalkan untuk musim baru ini.
Bagi Ifa, setiap kejayaan dikecapi adalah rezeki anak. Meskipun masih kecil dan sering ditinggalkan, kedua-dua buah hatinya, Sharifah Puteri Umairah (Coco), 9, dan Mohd Syakir Aqili, 3, mengerti ibu mereka keluar bekerja.
“Saya bekerja mengikut arahan dan tidak pernah memikirkan sama ada kontrak saya bersama TV3 disambung lagi atau tidak untuk tahun ini. Saya hanya buat yang terbaik kerana walaupun biasa mengacara, tetapi ketika mengendalikan program televisyen yang disiarkan secara langsung, saya perlu lebih berhati-hati kerana ia ditonton jutaan orang.
“Apapun, saya bersyukur apabila mendapat tahu kontrak saya disambung lagi. Terima kasih kepada penerbit program, Hartina Ayu Harun dan Penerbit Eksekutifnya, Siti Hatija Yusof. Bagaimanapun, jika tahun lalu saya bersiaran setiap Khamis, untuk tahun ini saya akan muncul pada Jumaat bersama Azizah Arifin untuk topik Tilam dan Bantal.
“Selama setahun bersama kru produksi dan penyampai TV3 yang lain, saya banyak menimba pengalaman bersama mereka. Seperkara yang saya tengok mengenai penyampai WHI, mereka menerima saya dengan baik.
“Walaupun saya dikira orang luar kerana hanya muncul seminggu sekali, mereka tidak pernah menyisihkan saya. Situasi sebegitu membuatkan saya berasa diri ini sebahagian daripada keluarga TV3,” katanya.
Ifa ditemui bersama warga kerja WHI yang lain ketika mereka bersiaran di Cruise Putrajaya, Khamis lalu. WHI bersiaran di sana kerana studio B, Sri Pentas, dalam proses menggantikan set baru. Program itu ke udara Isnin hingga Jumaat, selama sejam mulai 12 tengah hari.
Penyampai WHI yang masih dikekalkan untuk musim baru ini ialah Ruhil Syafinas Hussein, Azizah Arifin, Azura Azizul Azman dan Siti Hasffiza Aswaty Sab Jahan (Fiza). Wajah baru penyampai program itu ialah Irin Puteri Azmi, Nur Syahirah Ayob, Sharifah Salwa Syed Rahman dan Suraya Yeop Junior.
Untuk musim ini, setiap Isnin, WHI menampilkan topik Fesyen, Selasa pula segmen Gelora Cinta, Rabu perbincangan terbuka dan Khamis serta Jumaat, Tilam dan Bantal.
Justeru, bersesuaian topik Tilam dan Bantal, pada hari itu penerbit program menjemput empat artis popular bersama pasangan masing-masing untuk berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangga mereka, iaitu Dayang Ku Intan Tengku Hamid dan suami Rosman Yahil; Lisdawati Nazarudin dan Fauzi Nawawi; Sharifah Zarina Wan Hassan dan Buswani Abdullah serta Nurilylia Jailani (Nieyl) dan Dazman Shah Daud.
Sambil ditembual, mereka menikmati hidangan tengah hari disediakan tukang masak Cruise dalam Cruise yang dihias jambangan mawar merah. Terasa kehangatan cinta pasangan suami isteri itu, apatah lagi bagi Nieyl yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga.
Sebaik saja berakhirnya siaran langsung pada jam 1 tengah hari, semua kru WHI dan mereka yang terbabit dalam penggambaran itu dibawa bersiar-siar menyaksikan keindahan di sepanjang tasik itu.
Menerusi pengalaman yang dikutip bersama WHI, Ifa bercita-cita pula mengendalikan program bercorak talkshow.
“Memang saya masih baru dalam bidang penyiaran, tetapi selama setahun bersama WHI saya yakin dapat melakukannya. Dan saya percaya mana-mana penyampai atau pengacara pun mesti menaruh harapan untuk mempunyai program sendiri.
“Saya tidak kisah dikritik kerana kita akan cepat belajar daripada kesilapan yang dilakukan. Untuk berjaya, setiap orang perlu bermula dari bawah,” katanya.
Mengenai perkembangan kerjaya seninya, sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha kembali menyemarakkan pentas lakonan tanah air selepas dia menunjukkan lakonan cemerlang dalam drama Seputeh Qaseh Ramadan arahan Shahrulezad Mohameddin (Ezad). Sejak itu tawaran berlakon mencurah-curah.
Terbaru, saksikan lakonannya sebagai penyambut tetamu bernama Khaty dalam Spa Q musim dua yang kini disiarkan di TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang.
Ifa tidak menyangka tahun 2008 mencatatkan kejayaan cemerlang buat kerjaya seninya. Meskipun begitu, pada penghujung tahun lalu, dia kecewa apabila tersiar berita mendakwa dia menganiaya pembantu peribadinya (PA) tetapi dia yakin perkara itu sedikit pun tidak akan mencalarkan reputasi diri dan kerjayanya.
“Saya melayan bekas PA saya apa yang sepatutnya sebagai majikan. Dalam tempoh empat bulan dia hanya datang bekerja tidak sampai 30 hari. Saya tidak mahu memanjangkan perkara itu. Pada saya, dia belum tahu selok-belok menjadi PA kepada artis yang tidak tentu masa bekerja.
“Sebelum ini pun saya tidak pernah menggunakan khidmat PA. Melihatkan artis lain ada PA, saya pun teringin juga hendak ada PA tetapi lain pula jadinya. Dengan apa yang berlaku, saya serik untuk mengambil PA lagi.
“Biar ia kali pertama dan terakhir saya ada PA. Ingatkan ada PA senang, rupa-rupanya lagi menyusahkan. Sebelum ini pun, tanpa PA, kerjaya saya berjalan lancar diuruskan suami kerana dia lebih memahami siapa saya.
“Saya bersyukur kerana Yani tahu meletakkan dirinya di mana. Di rumah dia suami dan ketua keluarga. Malah, setiap keputusan saya perlu mendapatkan keizinannya. Namun jika di tempat kerja, saya majikannya.
“Bagaimanapun, saya tetap menghormatinya sebagai suami. Perkara itu saya tidak boleh lepas pandang kerana berkat izinnya saya berjaya seperti hari ini,” katanya.
Tahun ini juga membuka lembaran baru buat Ifa apabila dia bakal bergelar produser. Dia menjalin usaha sama dengan pelakon dan pengarah terkenal era 1980-an, AR Badul untuk menerbitkan dua telefilem, Raja Tomyam dan Ratu Susuk.
“Jika tiada aral, kami akan terbitkan Raja Tomyam dulu dan menyusul selepasnya Ratu Suntik yang akan dilakonkan oleh saya, Roslan Shah, Jaafar Onn dan Pian Cecupak. Ia mengisahkan ramai artis sekarang mengekalkan kecantikan masing-masing dengan menyuntik kolagen, vitamin C, botoks dan sebagainya.
“Raja Tomyam pula yang akan diterajui Nabil (Raja Lawak) menceritakan kenapa orang tempatan tidak boleh mencari makan di negara sendiri, sedangkan rakyat asing boleh hidup mewah di tempat kita,” katanya.
Pada masa sama, Ifa sibuk mempromosi produk kecantikan Serifah yang mengeluarkan produk pencuci muka dan serum untuk mengembalikan keremajaan wajah. Dia juga berhasrat mengeluarkan produk jamu iaitu Ratu Jamu Serifah.
“Banyak yang saya rancangkan untuk tahun ini. Antaranya ingin memajukan produk Serifah dengan mempelbagai produk lain. Wanita kini sangat menitikberatkan kecantikan dalaman dan luaran. Malah, saya mengamalkan jamu untuk sentiasa segar dan cergas,” katanya.
Harian Metro
Malam Milik Lisdawati Dan Fauzi
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

LISDAWATI dan Fauzi mempamerkan persembahan bertenaga.
Juara musim kedua Sehati Berdansa ini mendapat 67 peratus undi berbanding 32.9 peratus yang diperolehi pasangan Amyza dan Khairil
MEREKA bukanlah penari profesional namun siapa sangka lantai tari Sehati Berdansa menjadi saksi kehebatan pasangan Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi apabila mereka dinobatkan sebagai juara program realiti yang berkonsepkan tarian dan kerja amal itu.
Liuk lentuk tubuh mereka kala mengikuti alunan melodi muzik latin serta kelembutan yang ditunjukkan mereka ketika menarikan tarian Melayu kontemporari menjadikan penonton sebulat suara memilih mereka sebagai juara.
Namun, untuk sampai ke peringkat akhir program yang sudah pun memasuki musim kedua ini bukanlah sesuatu yang mudah. Selama sembilan minggu berada di dalam program berkenaan, pasangan ini bukanlah antara pasangan yang diminati penonton.
Malahan setiap kali membuat persembahan, kedudukan mereka jarang berada di peringkat paling atas.
Kalau ada sekalipun, mungkin hanya sekali mereka merampas kedudukan pasangan Amyza Aznan dan Khairil Izhar yang diakui sering menang di hati penonton apabila undian SMS mereka jarang sekali mengecewakan.

PERSEMBAHAN semua peserta Sehati Berdansa.
Tetapi, kalau sudah namanya program realiti, semuanya boleh berlaku. Jika selama ini, Lisdawati dan Fauzi hanya mengharapkan markah dari juri untuk melonjakkan kedudukan mereka namun kali ini keadaan berubah.
Jumlah peratusan sebanyak 67 peratus yang diterima mereka malam itu berbanding Amyza dan Khairil yang hanya berpuas hati dengan undian sebanyak 32.9 peratus cukup mengejutkan banyak pihak.
Begitupun, tidak perlu merasa hairan atau terkejut dengan keputusan itu kerana diakui Lisdawati dan Fauzi cukup konsisten dan menyerlah dalam kedua-dua cabaran tarian yang perlu mereka lakukan itu.
Malah kehebatan tarian mereka turut dikongsi bersama juri dan juga penonton yang berada di dalam perut dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang menjadi lokasi pertandingan akhir program itu.

GAYA penutup tarian Latin Fauzi dan Lisdawati.
“Bukan hadiah yang menjadi faktor utama tetapi kami membuat bersungguh-sungguh tarian itu atas dasar ingin membantu mereka yang tidak berkemampuan. Perkara ini terdetik dalam hati apabila pihak Astro membawa kami melawat rumah Nur Salam di Chow Kit.
“Di situ saya melihat ada ramai kanak-kanak terbiar yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya. Sebagai bapa kepada lima anak, pastinya pemandangan itu cukup menyentuh hati saya.
“Justeru, memandangkan kami mewakili rumah kebajikan berkenaan, jadi kami cuba melakukan sebaik mungkin supaya usaha kami itu nanti sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban rumah kebajikan itu,” kata Fauzi yang turut menyerahkan wang sebanyak RM15 ribu kepada rumah kebajikan Nur Salam sebagai hadiah kemenangan mereka.
Kesungguhan mereka untuk meneruskan perjuangan turut dibuktikan sewaktu mereka diberi tugasan untuk menarikan tarian Bollywood.
“Sebelum ini, saya sering mendapat lagu yang saya faham tetapi apabila mendapat tugasan lagu yang dinyanyikan dalam bahasa Hindi, saya risau. Jadi supaya saya dapat memahami ceritanya saya pun pergi beli DVD dan menonton ceritanya supaya kami dapat menarikan tarian itu mengikut jalan cerita filem itu,” kata Fauzi yang mendapat bimbingan Ray Redzuan Awang sebagai jurulatih.
Fauzi yang mengakui dirinya tidak pandai menari menyifatkan pengalaman selama sepuluh minggu berada di dalam program itu memberikan pengalaman berbeza buatnya.
“Memang mencabar kerana saya seorang yang kaki kayu tetapi sekarang sudah boleh menari. Malah saya sendiri sudah jatuh cinta dalam bidang seni ini. Cuma apa yang saya dapat katakan, menyertai program ini membuatkan saya lebih kenal siapa pasangan saya dan terus terang, program Sehati Berdansa berjaya mengeratkan lagi ikatan antara suami isteri,” ujarnya.
Ditanya apakah yang dimaksudkan dengan kata-katanya itu, Fauzi menjelaskan, tempoh yang panjang dan sering dihabiskan dengan pasangan masing-masing seperti yang dituntut program menjadikan pasangan suami isteri lebih memahami antara satu sama lain.
“Macam saya sendiri, ada kala kesibukan sering membataskan masa saya untuk isteri. Dan dia juga sibuk dengan lakonan, jadi kesibukan membuatkan kami jarang berjumpa.Namun selepas menyertai program ini keadaan itu berubah.
“Bayangkan dari Isnin hingga Rabu, kami perlu menjalani latihan bersama dan tempoh latihan cukup panjang. iaitu 12 jam sehari. Manakala hari Khamis, kami perlu menjalani rakaman. Jadi situasi itu dapat merapatkan lagi hubungan kami.
“Dan lebih menarik lagi ada tiga isteri yang mengandung sewaktu mereka menyertai program ini,” seloroh Fauzi sambil disambut gelak tawa yang lain.
Bukan program realiti namanya jika tidak berlaku sebarang kontroversi dan musim kedua ini turut sarat dengan pelbagai cerita panas. Dari cerita pergaduhan membabitkan kedua-dua pasangan ini hinggalah timbul soal konspirasi yang kononnya pihak Astro cuba memberikan kemenangan kepada Lisdawati dan Fauzi.
Mengulas perkara itu, Amyza berkata sebagai peserta sudah tentu gosip seperti itu memberi kesan padanya namun seboleh mungkin ia tidak mahu terlalu memikirkannya atas nasihat suami.
“Saya tak nafikan yang gosip seperti itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya. Kalau hendak ikutkan, memang boleh menjejaskan fokus saya tetapi selepas suami menasihatkan supaya jangan hiraukan perkara itu, saya pun turutkan saja,”ujar Amyza.
Diajukan pertanyaan persembahannya yang tidak konsisten menjadi punca kekalahannya, Amyza menafikan perkara itu.
“Mungkin mereka (penonton) leka dan menganggap saya sudah berada di kedudukan selesa berdasarkan carta yang ditunjukkan awal membuatkan mereka rasa tak perlu mengundi saya,,”ujar Amyza ringkas.
Dalam program yang dipancarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105) ini, kedua pasangan finalis diberi cabaran untuk mempersembahkan dua buah tarian yang mempunyai unsur Tarian Melayu Kontemporari dan tarian Latin.
Untuk persembahan pertama, finalis akan berentap menggunakan konsep tarian tempur yang memerlukan mereka menari serentak di atas pentas manakala untuk tarian Latin, kedua pasangan akan membuat persembahan secara berasingan.
Astro sangkal wujud konspirasi
TAHUN lalu, pasangan Vanida Imran dan Rashidi Ishak menerima nasib sama apabila ada khabar mengatakan kononnya pihak Astro mengatur strategi untuk memberikan kemenangan kepada mereka. Namun persembahan mantap mereka pada malam persembahan akhir membuatkan semua pihak yang melemparkan tuduhan itu akur dengan kemampuan yang ditunjukkan mereka.
Tahun ini, masalah sama turut kedengaran iaitu ketika program yang dikendalikan Fahrin Ahmad dan Linda Onn berada pada minggu pertengahan. Bagaimanapun, perkara itu sekali lagi disangkal wakil Astro. Pengurus Saluran Astro, Khairul Mizan Shagul menjelaskan, semua keputusan undian SMS dikendalikan secara profesional.
“Semua dakwaan konspirasi tidak benar sama sekali. Keputusan undian SMS telus dan diaudit oleh juru audit bertauliah,” jelas Khairul yang berpuas hati dengan persembahan peserta malam itu.
Mengenai program ini pada masa akan datang, Khairul berkata berdasarkan sambutan yang diterima, ia mungkin diteruskan.
“Kami berpuas hati dengan persembahan malam ini. Kami menerima 1.6 juta kiriman SMS sepanjang program musim kedua berlangsung, berbanding 800 ribu tahun lepas.
Sementara menunggu keputusan diumumkan, penonton dihiburkan dengan persembahan mantap dari Sarah, Damian Mikhail Seet serta Stacy yang cukup bertenaga bersama penari yang mengiringinya di pentas menyampaikan single terbarunya berjudul, Gagap.
Sehati Berdansa diadili dua juri tetap iaitu Linda Jasmine dan Hamzah Mohd Tahir manakala juri jemputan adalah Pengarah Urusan Dua Space Dance Theatre, Anthony Meh.
INFO: Sehati Berdansa
Sistem pemarkahan peringkat akhir adalah 100 peratus undian SMS
Juara Sehati Berdansa musim kedua menerima sebuah kereta Kia Optima, pakej percutian ke Eropah Tengah untuk dua orang , hamper serta trofi. Habuan untuk koreografer pula adalah peluang bercuti ke Jepun, hamper serta trofi.
Hadiah naib juara selain mengumpul dana RM10 ribu untuk diserahkan kepada badan kebajikan yang diwakilinya, mereka juga menerima hamper dan trofi sebagai hadiah
kemenangan.
Astro Ria akan menyiarkan episod penutup untuk musim kedua ini iaitu Memori Sehati Berdansa yang akan disiarkan pada 3 & 4 Januari 2009, jam 9 malam.
Berita Harian