Archive for the ‘Hijjaz’ Category

Galeri PUNB Dapat Sambutan


Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com


PELBAGAI maklumat mengenai PUNB dan peluang perniagaan menjadi tarikan galeri.

Kemudahan dedah pelbagai maklumat berkaitan perbadanan, keusahawanan

“MULAKAN langkah pertama anda untuk menjadi seorang usahawan dengan meneroka idea perniagaan bersama kami. Sertai kami dalam perjalanan ini dan bersama membangun, membentuk dan memajukan. Jangan biarkan idea tertulis di atas kertas semata-mata.”

Itu adalah mesej pertama dilihat dalam video korporat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) apabila melayari laman web perbadanan itu. Pasti bagi mereka yang mahu menjadi usahawan mesej berkenaan mampu membakar semangat serta niat seseorang untuk menerokai dunia perniagaan.

Kewujudan PUNB adalah untuk menyediakan pakej keusahawanan bersepadu membangun usahawan Bumiputera dalam bidang Peruncitan dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) selaras dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN) untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang progresif.

PUNB juga menjadi antara pemangkin terpenting dalam melahirkan usahawan Bumiputera termasuk yang masih terawang-awang untuk menceburi bidang itu mendapatkan khidmat nasihat, pinjaman kewangan dan mempromosi

Usahawan PKS dapat membangun dan mengembang perniagaan mereka melalui pakej pembiayaan kompetitif dengan perkhidmatan sokongan perniagaan bernilai tambah.


SEBAHAGIAN ruang pameran di Galeri PUNB, Plaza Sentral.

Sejak penubuhan PUNB pada 1992, ribuan usahawan sudah dilahirkan dengan membabitkan sejumlah RM920.5 juta bagi semua skim pembiayaan. Bidang Peruncitan (Prosper) paling banyak disalurkan iaitu RM428 juta membabitkan 1,657 perniagaan.

Pembiayaan lain yang turut disalurkan PUNB selain Prosper ialah skim pemborongan iaitu RM119 juta diikuti skim Siswazah Prosper RM13.5 juta serta skim PKS RM360 juta. Skim tertua dalam PUNB ialah skim PKS itu yang diwujudkan 17 tahun lalu dan sehingga kini disalurkan kepada 128 syarikat.

Perkhidmatan PUNB juga pelbagai dan sentiasa memastikan penubuhannya relevan dengan matlamatnya. Bagi mewujudkan komitmen padu, agensi itu turut menyediakan maklumat lengkap dan terkini mengenai program disediakan.

Salah satu cara memberi pendedahan mengenai perbadanan itu, turut disediakan ruangan khas dikenali sebagai Galeri PUNB bagi mempamerkan pelbagai perkhidmatan dan produk di bawah pembiayaannya.


ANTARA produk tempatan yang dipamerkan kepada pengunjung.

Galeri seluas 800 kaki persegi yang mula dibuka tahun lalu ditempatkan di ruang pejabat perbadanan itu ternyata amat bermanfaat apabila ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk pengunjung dari luar negara yang ingin mengetahui lebih mendalam mengenai produk dan perkhidmatan disediakan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Nashita Aziz, berkata Galeri itu sebenarnya diwujudkan sejak tahun 2000, yang ketika itu terletak di bangunan lama Wisma UOA, tetapi kemudian berpindah Tingkat 10, Blok 1B, Plaza Sentral, KL Sentral.

Katanya, produk dipamerkan mengikut kategori termasuk industri teknologi pemakanan, minyak dan gas, kosmetik, biotec farmasuetikal, perabot, elektrik dan perisian komputer, produk berasaskan pertanian, komponen automotif dan pelbagai lagi.

Meskipun ruangnya agak terhad, semua produk dan perkhidmatan yang dibiayai di bawah agensi itu dipamerkan dengan penuh kreatif serta sentiasa ditukar sekerap mungkin dengan 16 produk setiap satu masa.

“Selain maklumat terperinci bagi setiap produk dan perkhidmatan, turut disediakan ialah pelbagai risalah sama yang lengkap untuk memudahkan pengunjung mengetahui perniagaan yang dilakukan peserta.

“Apa yang menarik, Galeri itu terletak bersebelahan kaunter PUNB dan menjadi tumpuan orang ramai yang berurusan di situ, dibuka pada waktu pejabat mulai jam 8.30 pagi.

“Mereka akan melawat galeri. Orang ramai datang ke PUNB untuk pelbagai urusan dan pada masa sama mereka akan singgah di galeri itu. Sesetengahnya mereka yang datang ke PUNB untuk mendapatkan maklumat mengenai pembiayaan dan peluang perniagaan yang diadakan setiap Isnin (10 pagi hingga 12 tengah hari) di Tingkat 9 dan pada masa yang sama, mereka akan turut mengunjungi galeri itu,” katanya.

Nashita berkata, turut dipamerkan keratan akhbar mengenai laporan kejayaan usahawan Bumiputera di bawah skim PUNB. Ini memberikan idea dan membakar semangat mereka untuk lebih berjaya dalam bidang diceburi

Sebilangan usahawan Bumiputera di bawah PUNB itu sudah berjaya dan produk mereka dikenali ramai seperti perabot berasaskan kayu jati (Jati Emas), Hijjaz Record (produk dan perkhidmatan termasuk membina studio) dan Sipora Plastic (produk alat ganti kenderaan untuk kereta keluaran tempatan).

Katanya, pengunjung juga boleh menyaksikan video multimedia mengenai empat skim pembiayaan produk dan perkhidmatan.

Pelbagai kursus ditawarkan

PUNB menawarkan kursus berkaitan dengan kemahiran keusahawanan seperti kursus kesedaran dan motivasi keusahawanan, pembangunan pengurusan, kemahiran pemantauan operasi dan tadbir urus korporat dari semasa ke semasa.

PEMBIAYAAN KEUSAHAWANAN PUNB

Membabitkan Pakej Keusahawanan

a) Prosper Runcit

b) Prosper Siswazah

c) Skim Pemborong Prosper

PAKEJ Keusahawanan PROSPER Runcit merangkumi:

Pembiayaan perniagaan berasaskan syariah

a) Pakej A - Pembiayaan daripada RM70,000 sehingga RM200,000:

Pakej ini, menawarkan pinjaman yang berlandaskan Qard Al-Hassan, di mana peminjam perlu memulangkan segala wang pokok secara berjadual. Melalui pakej ini, usahawan perlu menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus manakala PUNB menyediakan pinjaman sehingga 90 peratus dari keseluruhan kos projek tertakluk kepada had maksimum RM200, 000.

b) Pakej B - Pembiayaan daripada RM200,001 sehingga RM1 juta

Pembiayaan Perniagaan

Pakej ini menawarkan pembiayaan terhad kepada RM1 juta melalui Musyarakah Mutanasiqah (suntikan ekuiti), Bai Al Inah (BAI), Bai Bithanam Ajil (BBA) atau mana-mana instrumen pembiayaan bergantung kepada keperluan perniagaan yang dicadangkan. (Struktur syarikat mestilah Sendirian Berhad kecuali untuk stesen minyak)

Dalam projek ini, jika usahawan hanya menyumbang keperluan modal permulaan sebanyak 10%, PUNB akan menyuntik ekuitinya sebanyak 10 peratus untuk menjadikan jumlah ekuiti syarikat sekurang-kurangnya 20 peratus daripada kos projek dan selebihnya adakan dibiayai melalui BAI atau BBA atau instrumen pembiayaan lain yang bersesuaian.

SKIM PROSPER SISWAZAH

Menyediakan kemahiran dan pengetahuan kepada siswazah muda Bumiputera untuk menceburi bidang perniagaan, khususnya perniagaan runcit dan pengedaran.

Membantu siswazah muda Bumiputera memulakan perniagaan runcit dan pengedaran melalui mekanisma pembangunan yang teratur dan sistematik.

Kemudahan Pinjaman

Menyediakan dua jenis pakej pinjaman berlandaskan prinsip Qard Al-Hasan. Pakej pinjaman ini adalah;

Pakej A:

Menyediakan pinjaman dari RM5,000 sehingga RM50,000 untuk perniagaan tunggal, perkongsian atau Sdn Bhd Usahawan perlu menyumbang modal minimum sebanyak RM500 untuk satu projek. Tempoh pembayaran balik pinjaman ialah dari tiga sehingga tujuh tahun.

Pakej B:

Menyediakan pinjaman dari RM 50,001 sehingga maksimum RM100,000 untuk perniagaan perkongsian atau Sdn Bhd. Setiap usahawan perlu menyumbang modal minimum sebanyak RM500 untuk satu projek. Tempoh pembayaran balik pinjaman ialah dari lima hingga tujuh tahun.

SKIM PEMBORONG PROSPER

Membangun usahawan Bumiputera dalam aktiviti belian dan jualan pukal bahan serta bekalan. Menyediakan sumber barangan dan bekalan bahan pada kos yang dapat meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan.

Skim berlandaskan prinsip syariah ini menawarkan pembiayaan di antara RM250,000 sehingga maksimum RM5 juta. Tempoh pembayaran balik pembiayaan ialah sehingga tujuh tahun.

Tujuan pembiayaan boleh merangkumi keperluan modal pusingan, pembelian stok dan aset, serta lain-lain keperluan yang berkaitan dengan perniagaan dicadangkan.

Perkhidmatan Perniagaan, selain dari penyediaan pembiayaan, skim ini juga menawarkan khidmat pemantauan, kenal pasti premis, jaringan perniagaan serta latihan keusahawanan.

Kesemua khidmat ini adalah untuk menyediakan landasan kepada usahawan Bumiputera merebut peluang perniagaan serta berkongsi pendapat dan pengalaman bagi memantapkan perniagaan mereka.

Berita Harian

Tak Malu Tumpang Nama Hijjaz


Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


Syifa

Syifa akui guna nama kumpulan nasyid popular untuk perkenalkan diri

MESKIPUN sejak akhir-akhir ini mereka mula dikenali di kalangan ramai pengikut nasyid tanah air dan pelajar dari institusi pendidikan tinggi namun kumpulan nasyid Syifa yang mula ditubuhkan pada 2005 mengakui perlu menumpang populariti orang lain untuk terus memajukan kumpulan ini.

Bagi Syifa itu adalah hakikat yang perlu diterima kerana tanpa populariti sukar bagi mereka untuk diberi peluang berada di tengah-tengah genre muzik yang dianggap minoriti.

Syifa dianggotai tujuh ahli iaitu Mohd Zahidan Omar, Rohaizat Ismail, Zawata Afnan Ibrahim, Iszrul Azwan Idrus, Hairudin Zainul Abidin, Nassri Yasin dan Samri Karim.

Penyanyi utamanya, Mohd Zahidan atau Zidan berkata: “Kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk bernaung di bawah Hijjaz Records. Ini adalah landasan terbaik bagi kami disamping suntikan semangat untuk kami berusaha lebih keras memartabatkan industri nasyid.

“Siapa sangka daripada meminati kumpulan Hijjaz suatu masa lalu, kini kami boleh bersama mereka di bawah satu bumbung. Inilah rezeki yang sememangnya sudah tertulis buat kami bertujuh,” katanya yang menjadikan Hijjaz sebagai idola mereka sejak menceburi bidang nyanyian.

Mereka ditemui pada majlis pelancaran album kedua mereka berjudul Seri Hati yang dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Ahmad Kabit di Restoran Puteri, Penchala Link baru-baru ini.

“Kami memang tidak pernah kisah apabila ada pihak yang mengatakan kami menumpang nama Hijjaz yang sememang sudah dikenali ramai. Memang kami mengaku menumpang populariti mereka untuk dikenali. Sebenarnya memang sukar untuk memperkenalkan kumpulan kami. Lebih-lebih lagi kelompok yang meminati irama nasyid ini terlalu sedikit namun masih ada yang menyokong kami selama ini.

“Daripada hendak menutup mulut orang, lebih baik kami meneruskan niat untuk berdakwah melalui nasyid yang sememangnya ada tempat di negara ini,” kata Zidan.

Syifa yang dulu pernah muncul menerusi album pertama pada tahun lalu berjudul Sinar Kedamaian kini boleh berbangga apabila tampil untuk album kedua yang kini sudah berada di pasaran.

Album ini menampilkan komposer terkenal seperti Isman Isam menerusi lagu Seri Hati dan Cuba Renungkan, Munif Ahmad menerusi lagu Syafiuna Ya Rasullah, Ariffin Rahim lagu Pasti Berpunca, Mentari Hidup dan Milik Mu Selamanya, dan Abai Os lagu Hukum Hakam yang semuanya dari kumpulan Hijjaz.

Selain itu, Saiful Mestica (Jalan Pulang), Fadzli FarEast (Keluarga Bayangan Syurga) dan Frizdan (Nikmat Kurnia).

Hari ini Syifa sudah dikenali dengan berkat bantuan dan sokongan Hijjaz, namun apa yang dibawakan Syifa kini adalah imej yang pernah diperkenalkan Hijjaz suatu masa lalu.

“Kami lebih selesa menggunakan kopiah sebagai identiti kami. Kopiah yang kami gunakan tujuh anggota Syifa bukan kopiah biasa. Ia sebenarnya pernah diperkenalkan Hijjaz suatu masa lalu dan kini bahagian kami untuk meneruskannya.

“Bezanya kopiah kami datangnya dari Bangladesh. Ia memang istimewa kerana di negara ini tidak boleh ditemui kopiah seperti ini,” katanya.

Bagi peminat yang ingin mengetahui aktiviti serta maklumat terkini kumpulan Syifa, bolehlah melayari www.syifa.com.my.

Berita Harian

CAK: Oasis Tarik Saudara Baru

Rap
CAK bukan terlalu memuji tetapi CAK rasa selama setahun bersiaran, Astro Oasis berjaya menawan hati sebahagian penonton negara ini dengan rancangan berunsur agama. Kawan CAK sendiri sejak ada Oasis sudah bertukar selera dengan menjadikan saluran itu kegemarannya. Jika dalam sehari dia tidak sempat menelaah al-Quran, dia menjadikan alunan zikrullah yang disiarkan sebelum dan selepas setiap kali azan lima waktu sebagai santapan rohaninya.

Alunan zikir Munif dari kumpulan Hijjaz cukup terkesan di hati. Sambil menghayati bacaannya yang merdu, penonton juga boleh menghayati makna bacaannya kerana ada tertulis sama di bawah ayat suci itu.

Itu cerita kawan CAK. Namun ada cerita yang lebih hebat daripada itu apabila CAK diberitahu, paparan program yang berunsurkan keagamaan di saluran itu akhirnya berjaya membuka hati dua hamba Allah dari Sabah untuk memeluk Islam. Dengarnya mereka memilih agama Allah yang suci itu bukan kerana paksaan sesiapa tetapi mereka lakukan dengan hati tulus ikhlas.

Syabas CAK ucapkan kepada Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar, kerana berjaya membawa pembaharuan kepada penonton televisyen tempatan. Moga Allah terus memberkati usaha Izelan dan semua pasukan kerja Oasis. Perkara yang baik pasti akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah SWT.

Malah CAK seronok berbual dengan Izelan kerana sejak menerajui saluran itu, pengetahuan agamanya cukup tinggi. Apatah lagi apabila bercerita mengenai pengalamannya mengerjakan umrah awal tahun ini. Apa yang CAK nampak, Izelan berusaha mendidik dirinya terlebih dulu sebelum dia mengajak orang lain berbuat kebaikan. Macam itu barulah betul. Tidaklah seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.

Harian Metro