Archive for the ‘Julia Ziegler’ Category

Rekaan Hatta, Michael Paling Unggul


Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
INDUSTRI hiburan dan dunia fesyen memang tidak boleh dipisahkan kerana saling berkait rapat antara satu sama lain.

Justeru tidak hairanlah, penganjuran acara berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tidak pernah meminggirkan pembabitan pereka fesyen tanah air sekali gus memastikan selebriti popular tampil bergaya menyemarakkan acara permaidani merah saban tahun.

Lebih bermakna, penganjur ABPBH juga memperkenalkan Anugerah Pereka Fesyen Popular buat julung kalinya pada ABPBH 2007 bagi memberi pengiktirafan kepada pereka fesyen tempatan dan artis yang menggayakan rekaan khas pereka terbabit sempena malam kemuncak ABPBH 2007 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada Mac tahun lalu.

Pada masa sama, pembaca setia Berita Harian juga berpeluang mengundi untuk menentukan pemenang bertuah itu.

Keputusan pemenang anugerah itu diumumkan pada sidang media pertama pengumuman pencalonan awal ABPBH 2008 yang berlangsung di Hotel Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ternyata, trofi Anugerah Pereka Fesyen Popular 2007 menyaksikan pereka muda, Hatta Dolmat dipilih sebagai pereka fesyen wanita popular dengan rekaan digayakan Julia Ziegler dan Kenny Loh (Lord’s Tailor) serta Michael Shu dengan hasil rekaan diperagakan Mawi memenangi kategori pereka fesyen lelaki popular.

Sempena kemenangan itu, masing-masing iaitu pereka fesyen dan artis membawa pulang trofi dan barang kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM10,000. Bagaimanapun, Mawi tidak hadir pada acara berkenaan.

Pereka lain yang turut bertanding bagi merebut anugerah itu ialah Rizman Ruzaini, Norazura Mazarudin, Hazwani Osman, Shamsu Yusof, Erwan As, Calvin Thoo, Anizam Yusof, Kent, Faizal Azra, Zery Zamry, Nazreen Idris dan Khairy Sufi.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ketua Pengarang Kumpulan, New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan BHSB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah.

Ketika ditemui Rap, Hatta Dolmat berkata, anugerah yang dimenanginya itu adalah penghargaan cukup besar baginya sepanjang berkecimpung dalam bidang berkenaan.

“Sebagai pereka pelapis, saya memang tidak jangka kemenangan ini kerana persaingan sengit sekali. Semua pereka bertanding juga menampilkan rekaan yang bagus cuma rezeki lebih berpihak pada saya kali ini.

“Sebenarnya, saya memang suka menyertai pertandingan fesyen kerana ia buat saya teruja untuk menghasilkan rekaan lebih bagus.

Kemenangan ini juga buat saya lebih bersemangat kerana ia undian peminat yang turut menghargai rekaan saya,” katanya.

Hatta berkata, dia sudah terbabit dengan acara permaidani merah ABPBH sejak 2005.

Antara artis popular yang pernah menggayakan rekaannya ialah Jaclyn Victor, Erra Fazira dan Julia Ziegler. Malah gaun rekaannya yang digayakan Erra juga diangkat sebagai Pakaian Terbaik pada ABPBH 2006.

“Sebenarnya saya sudah lama berkecimpung sebagai pereka fesyen tapi cuma terbabit dalam dunia glamor ini sejak terbabit dengan ABPBH,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian, Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, dia juga mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan rekaan berkenaan.

“Ia membabitkan material dan pemilihan fabrik bagi menyiapkan gaun berkonsep ‘batik couture’ atau batik kontemporari sekali gus menepati tema ABPBH 2007 iaitu ‘batik glam’.

“Saya mendapat inspirasi dan idea untuk buat rekaan ini menerusi Internet dan kajian mendalam termasuk perbincangan dengan Julia sendiri. Batik ini saya tempah khas dari Terengganu dan ia juga batik sifon dan mempunyai warna penuh,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Julia pula, Hatta berkata, dia yakin Julia artis yang tepat untuk menggayakan rekaannya itu.

“Kali pertama bertemu Julia, saya sudah nampak pelakon berdarah kacukan bertubuh tinggi lampai ini boleh menggayakan rekaan saya ini sekalipun baru kali pertama kami bekerjasama.

“Sebenarnya, saya tidak kisah untuk buat baju artis baru atau sudah popular kerana bagi saya, lebih ramai artis menggayakan rekaan saya, itu lebih bagus,” katanya. Manakala, Julia yang menumpang kegembiraan Hatta pada petang itu berkata, pereka muda itu berbakat besar dan mampu pergi lebih jauh pada masa depan.

“Hatta memang layak untuk menang kerana dia sangat bekerja keras buat gaun yang saya gayakan pada ABPBH 2007.

“Dia memang teruja bila dicalonkan bagi anugerah ini kerana kategori Pakaian Terbaik ABPBH 2007 dimenangi Nora Danish pada malam itu dan bukan saya.

“Ini kali pertama kami bekerjasama dan saya berharap dapat bekerjasama dengannya lagi pada penganjuran ABPBH akan datang.

,” katanya.

Kata Julia lagi, dia menyukai rekaan Hatta kerana menepati cita rasanya.

“Saya sukakan gaya ringkas, anggun dan selesa. Saya mementingkan keselesaan rekaan digayakan setiap kali berjalan di acara permaidani merah. Gaun rekaan Hatta ini ringan dan senang bergerak serta sesuai dengan wanita lasak seperti saya,” katanya.

Seperti Hatta, Michael Shu yang berkongsi kemenangan dengan Kenny Loh (Lord’s Tailor) juga tidak menjangka kemenangan mereka pada petang itu.

“Sekalipun sudah 11 tahun sebagai pereka fesyen, baru dua tahun saya terbabit dengan ABPBH, sejak 2006.

“Kerjasama saya dan Lord’s Tailor bermula apabila diperkenalkan Publisis Industri Hiburan dan Fesyen, Bill Bora pada ABPBH 2007.

Kenny yang diserahkan tugas membuat baju untuk Mawi inginkan sentuhan batik pada sut digayakan artis popular itu dan dia yakin saya pereka yang tepat untuk bekerjasama dengannya,” katanya.

Pemegang Diploma International Fashion Training Centre (IFTC) itu berkata, rekaan yang digayakan Mawi itu hasil perbincangannya dengan Kenny. Pada acara itu, Mawi menggayakan dua pasang sut berwarna merah dan keemasan sentuhan mereka berdua.

“Kenny yang memotong baju itu dan saya pula memberi idea membabitkan fabrik dan sentuhan batik pada sut berkenaan.

Selain Mawi, artis lain yang pernah menggayakan rekaan Michael ialah Diana Danielle, Irma Hasmie dan Lis Dawati.

Harian Metro

Lebih Anggun Dan Berprestij


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


EMPAT jelitawan
dari kiri Wan Sharmila, Julia Ziegler, Rebecca Nur Islam dan Dynaz menggayakan koleksi 2009 daripada Habib Jewels.

Penampilan empat pelakon tampil dengan kemilauan barangan kemas daripada Habib

SABAN tahun, pengeluar aksesori dan barangan kemas terkemuka, Habib Jewels tidak pernah lupa mengeluarkan koleksi terbaru untuk digayakan pelanggan mereka. Terbaru bertempat di Bilik Pameran Habib Jewels di Ampang, berlangsung majlis bagi memperkenalkan aksesori ini dalam suasana yang cukup santai.

Kilauan aksesori bergemerlapan menghiasi tubuh jelitawan yang cukup popular di layar perak dan di layar kaca ini Anggun dengan busana rekaan Calvin Thoo, pelakon yang baru saja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pantene Shine sempena Anugerah Skrin 2008 lalu, Wan Sharmila, bakal ibu, Dynaz, pelakon remaja yang jelita, Diana Danielle, Julia Ziegler dan Rebecca begitu berseri sekali menggayakan koleksi terbaru Habib Jewels sempena ketibaan tahun 2009 ini.

Penampilan mereka sambil menggayakan rantai leher dan gelang tangan serta cincin yang berkemilauan jelas membantu menyerlahkan lagi barangan kemas yang nilai keseluruhannya mencecah RM1 juta itu.

Bukan artis residen Radius One Sdn Bhd

SIAPA yang boleh lupa akan wataknya sebagai seorang gadis lincah dalam drama bersiri Sindarella. Malah, kebanyakan lakonannya sebelum ini, watak lincah dan mengada-ngada sering kali menjadi milik pelakon yang berasal dari selatan tanah air ini.

Justeru, apabila sering disogokkan dengan watak sedemikian, ramai yang tersalah anggap dan mengatakan Wan Sharmila memang seorang yang gedik walaupun di dunia luar. Bertemu dengan gadis kecil molek ini, Wan mengakui gelaran gedik memang sering disinonimkan dengannya. Namun, dia menafikan yang dia bersikap sedemikian.

“Mungkin orang tersalah anggap dengan perwatakan saya di dalam filem ataupun di luar. Sebenarnya saya bukanlah seorang yang suka mengada-ngada seperti yang sering ditonton di kaca televisyen. Itu sekadar lakonan saja.

“Sebenarnya saya seorang yang lincah, happy go lucky dan sangat sederhana. Mungkin keadaan fizikal dan suara saya membuatkan orang ingat saya dilihat begitu. Tapi saya tak kisah dan memahami situasi itu.

“Macam dalam drama Sindarella, pada permulaannya, pengarah Shahrul Ezad mahukan saya jadi orang jahat. Tapi, menyedari suara saya tak sesuai untuk melakonkan watak jahat, lalu saya menukar watak itu menjadi gedik dan pada masa yang sama unsur jahat itu tetap ada.


DYNAZ memperagakan barangan kemas Habib.

“Itu yang mungkin menyebabkan penonton terpengaruh dengan watak itu,” kata pelakon berusia 27 tahun ini ketika ditemui pada majlis memperkenalkan koleksi 2009 di Bilik Pameran Habib Jewels Sdn Bhd di Ampang, baru-baru ini.

Walaupun sebelum ini Wan Sharmila tidak pernah mendedahkan statusnya kepada peminat, namun akhirnya perkara itu terbongkar juga di internet. Ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Wan Sharmila menjelaskan dia tidak pernah cuba untuk menyorokkan statusnya.

“Memang pada awalnya tidak mahu mendedahkan status saya. Pada saya itu bukanlah sesuatu yang penting. Saya beranggapan kebolehan saya dinilai pada bakat, bukannya status. Lagipun tiada orang pernah bertanya bercerita pasal status saya. Tapi apabila cerita itu tersebar di internet, kami tak boleh buat apa-apa.

“Cuma ia menggambarkan seolah-olah saya yang tak nak mengaku yang saya sudah berkahwin walhal saya tak kisah dengan status isteri,” jelasnya.

Bagi penggemar pelakon ini tentu ada yang perasan kebanyakan drama lakonannya diterbitkan oleh Radius One iaitu syarikat produksi milik suaminya.

Ini menjadikan Wan ada kelebihan iaitu menggunakan kedudukan suami untuk mendapatkan peluang berlakon.

“Memang ramai yang beranggapan macam itu. Tapi saya tidak ambil kesempatan daripada kedudukan. Sekalipun berlakon dalam drama Radius One, saya hanya diberikan watak sampingan saja. Jarang, malahan tidak pernah diberikan peranan utama.

“Suami Wan tak pernah campur tangan dalam hal ini. Apabila di set penggambaran, Wan dilayan sama macam pelakon lain. Kalau buat silap tetap kena marah. Cuma insya-Allah, kalau tiada aral melintang, mungkin Wan muncul dalam drama bersiri berjudul Tari Tirana.

“Inilah drama pertama yang menyaksikan Wan pegang watak utama,” jelas Wan Sharmila yang ketika sedang menghabiskan penggambaran drama bersiri Rona Roni Makaroni.

Menyimpan hasrat melakonkan watak yang lebih mencabar pada masa akan datang, Wan Sharmila mengharapkan rezekinya dalam bidang lakonan akan terus menyinar lebih-lebih lagi selepas dia memenangi hadiah Pantene Shine sempena Anugerah Skrin 2008 lalu.

“Buat masa ini saya masih menunggu tawaran dari mana-mana syarikat produksi. Saya bukanlah artis residen Radius One. Saya bebas berlakon dengan mana-mana syarikat produksi lain.

“Saya pernah dengar kononnya ada pihak takut hendak mengambil saya kerana saya adalah artis residen Radius One Sdn Bhd dan pasti bayaran yang dikenakan mahal.

“Kalau boleh saya ingin mempelbagaikan lakonan saya, bukan hanya ingin dikenali dengan watak gedik saja. Saya teringin membawakan watak air mata seperti pelakon Eja yang menjadi idola saya. Tapi fizikal saya mungkin menyebabkan ramai pengarah berpendapat saya tidak sesuai membawakan watak sedemikian.

“Namun saya tetap tunggu watak seperti itu dan suatu hari ada untuk saya juga,” katanya yang menggayakan busana Little Black Dress serta aksesori berlian rona hitam dan putih koleksi Wild Life petang itu.

Dynaz tolak tawaran berlakon sejak berbadan dua

SERI ibu mengandung jelas terpancar di wajah pelakon tinggi lampai ini. Malah, dengan membawa kandungan yang sudah berusia empat bulan, Dynaz masih lincah di pentas peragaan menggayakan barangan kemas berupa mutiara dari laut Selatan bertatahkan berlian kuning putih bernilai RM334 ribu ringgit.

Namun, tak siapa yang tahu bahawa di sebalik kejelitaan wajah dan gayanya yang memukau itu, ada cerita menarik yang menanti.

Sejak berbadan dua, Dynaz atau Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar mengakui dia memang malas hendak bersolek atau bergaya. Malah, perasaan cintanya pada bidang lakonan juga semakin pudar.

“Ada dua tawaran berlakon ditolak sejak disahkan mengandung. Bukannya apa, perasaan malas itu sering wujud dalam diri. Kalau tak ada apa-apa penggambaran, saya lebih senang duduk di rumah atau berada di atas katil.

“Nak pakai kanta lekap dan nak mandi pun malas. Macam mana tu? Lebih teruk lagi apabila ada sesi fotografi yang diatur lebih awal dan saya sudah setuju tapi apabila tiba harinya, saya jadi malas nak pergi. Sebab itu apabila pelakon Nora Danish mengatakan dia malas hendak buat sesi fotografi, saya memahami keadaannya itu.

“Apabila ini berlaku, saya kasihankan suami saya. Iyalah mana tidaknya, dia terpaksa melayan kehendak saya yang bukan-bukan. Tapi yang melucukan, dia pula yang mengidam nak makan macam-macam. Saya pula tak kisah dan ikut saja cita rasanya itu,” kata Dynaz yang ketika ini sedang menyiapkan drama bersiri lakonannya bersama penyanyi Misha Omar berjudul Jula Juli Bintang 3.

Jelas Dynaz lagi, bukan saja dari segi penampilan diri yang diabaikan Dynaz sejak hamil, malah perniagaannya butik pakaiannya bersama Awal turut diserahkan bulat-bulat pada pelakon itu.

“Itulah, kasihan juga pada Awal apabila dia terpaksa menguruskan semua. Tapi nasib baiklah dia memahami,” katanya.

Sebaik saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri itu, dia mengambil keputusan untuk berehat saja di rumah disebabkan fizikalnya yang tidak mengizinkan itu.

“Saya berlakon dalam drama bersiri ini pun sebab sudah berjanji dengan pengarahnya Adam Hamid. Sebelum ini sudah dua kali dia tawarkan berlakon tapi terpaksa ditolak kerana bertembung dengan jadual lain. Jadi kali ini saya tunaikan janji saya.

“Namun kasihan juga apabila kadang-kadang dia terpaksa menghabiskan penggambaran lebih awal kalau saya tidak sihat. Jadi apabila memikirkan perkara itu, saya rasa biarlah saya berhenti dulu dari menerima tawaran berlakon supaya tidak menyusahkan sesiapa,” jelas Dynaz sambil menjelaskan dalam drama Jula Juli Bintang 3 itu nanti, dia memgang watak sebagai Julia, gadis lurus bendul.

Pelakon ini semakin selesa dengan watak komedi selepas berjaya membuat penonton drama bersiri Di Bawah Ketiak Isteri terhibur dengan lakonannya.

“Saya dapat rasakan watak komedi ini sesuatu yang berbeza, Memang tidak mudah buat orang ketawa. Tapi saya ambil sikap santai dan tidak terlalu berusaha keras untuk membuat orang ketawa. Berlakon berdasarkan skrip dan kehendak pengarah, hasilnya pasti memuaskan hati penonton,” katanya.

Menurutnya, selepas bersalin kelak, dia juga tidak sabar untuk kembali ke pentas teater untuk beraksi dalam Impak Maksima…The Musical di Panggung Esplanade, Singapura.

“Saya sudah beritahu Ahmad Idham supaya menunggu saya sehingga saya habis pantang. Saya nak sangat ke Singapura untuk sama-sama berlakon dalam teater itu. “Malah, saya ada beritahu dia hendak menggantikan watak saya itu dengan pelakon lain, dia kena tukar watak dan nama watak. Saya tak mahu dia gunakan watak yang sama dengan watak yang saya bawa,” tegas Dynaz separuh bergurau.

Berita Harian

ABPBH Hargai Pereka Fesyen

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


HATTA (tengah) diapit oleh (dari kiri) Wan Sharmila, Liyana, Jue dan Ainul.

Majlis pengumuman pencalonan awal ABPBH2008 dimulakan dengan peragaan fesyen daripada personaliti dan artis muda

FESYEN dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ibarat dua perkara yang saling melengkapi. Saban tahun berlangsung, gaya dan tema yang dijelmakan ABPBH sejak tiga tahun lalu, terutamanya menerusi pembabitan pereka fesyen tempatan membuka ruang kepada mereka untuk menempa nama.

Sumbangan besar daripada mereka menjadikan penganjur mengadakan acara khas dinamakan Anugerah Pereka Popular ABPBH2007 dengan menampilkan sejumlah pereka yang hasil rekaan masing-masing diperagakan oleh barisan artis ketika acara karpet merah di kemuncak ABPBH2007 di Arena Of Stars, Genting pada Mac lalu.

Menerusi anugerah itu, pembaca yang menjadi rakan@BH boleh memilih calon pereka popular menerusi undian secara online dalam gerbang Berita Harian yang dijalankan dari Julai hingga Ogos lalu.

Hasil daripada undian itu, Hatta Dolmat dipilih sebagai pereka fesyen wanita popular menerusi rekaan yang digayakan oleh Julia Ziegler, manakala Kenny Loh (Lord’s Tailor) dan Michael Shu pula dengan hasil rekaan yang diperagakan oleh Mawi memenangi kategori pereka fesyen lelaki pular.

Pengumuman itu dibuat dalam majlis istimewa sempena pengumuman pencalonan awal ABPBH2008 yang diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses, Sri Kembangan.


AARON AZIZ dengan rekaan Lord’s Tailor dan Julia Ziegler memperagakan rekaan Hatta.

Pereka fesyen yang menang bagi setiap kategori ini masing-masing menerima barang kemas Habib bernilai RM10,000 dan trofi. Julia Ziegler dan Mawi yang masing-masing memperagakan rekaan mereka turut membawa pulang hadiah yang sama. Bagaimanapun, Mawi tidak hadir di majlis ini.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun. Hadir sama ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan BHSB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah.

Bagi meraikan simbolik kepada kejayaan pemenang ini, Hip menggandingkan enam nama bintang muda yang semakin bersinar dan pantas menambat perhatian peminat seni tempatan iaitu Liyana Jasmay, Juliana Evans (Jue), Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli. Mereka antara model yang dijemput memperaga bagi segmen pertunjukan fesyen di majlis ini.

Liyana, Jue, Ainul dan Wan Sharmila cukup bertuah dan bangga diundang buat pertama kali menggayakan koleksi rekaan Hatta Dolmat, manakala Fizzo dan Kamal Adli tampak eksklusif dengan rekaan Lord’s Tailor. Mereka juga antara nama yang turut tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 2008.

Paling mencuit perhatian Hip ialah mengenai hubungan Liyana Jasmay dan Aizat yang diusik pengacara majlis sidang media pada petang itu iaitu Anne dan Ikhwal daripada Hot FM. Mungkin ada yang perasaan, bunga mawar hitam yang dipegang Liyana tiba-tiba dibaling dan disambut Aizat.

“Kami tidak ada apa-apa hubungan cinta. Selepas fotografi dengan B Pop, kami ditemukan lagi dalam sebuah penerbitan lain. Dia (Aizat) pernah menyanyi di majlis perkahwinan abang saya pada 16 Disember lalu.

“Saya memang boleh serasi sebab personalitinya membuatkan saya mudah mendekatinya. Dia berbakat, baik hati dan ada misi serta visi di dalam hidup,” kata Liyana akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta, Februari depan.

Seperti Liyana yang gembira menggayakan baju rekaan Hatta, Jue turut bersetuju dengan pandangan rakannya itu.

Kata Jue, dia sudah lama menyimpan impian untuk menyarung baju rekaan pereka fesyen itu dan pada penghujung 2008 barulah menjadi kenyataan.

Ketika ini dia sedang bercuti daripada sebarang aktiviti seni dan tidak lagi menjadi pengacara untuk program Remaja terbitan TV3 yang banyak memperkenalkan namanya di persada seni. Dalam nada kecewa, Jue memberitahu, kontraknya bersama program itu sepatutnya tamat April 2009.

“Terkejut juga apabila nama saya dan Aliff tiba-tiba digugurkan tanpa notis awal. Saya cuma dihubungi penerbit dan diberitahu tidak perlu lagi mengacara Remaja. Memang hasrat untuk tidak mengacarakan Remaja sudah lama saya fikirkan, tapi saya tidak pernah membayangkan kesudahannya begini,” katanya.

Bagi Wan Sharmila, selain pertama kali menggayakan rekaan Hatta, dia juga memberanikan diri untuk melakukan catwalk di pentas. Berusia 27 tahun, dia yang sudah bergelar isteri kepada penerbit bernama Fazli Baharom sejak 2006 mula berlakon sejak dua tahun lalu.

“Saya beranikan diri juga untuk ‘feeling’ buat catwalk dan menambah sedikit elemen lakonan, hasilnya saya yakin diri saja,” katanya yang kini sedang menghabiskan penggambaran drama Rona Roni Makaroni arahan Shahrul Ezad untuk siaran Astro Ria.

Seakan bermimpi, pelakon filem Histeria, Ainul Aishah ini tidak menyangka akan terpilih menggayakan busana ciptaan Hatta. Mengikuti perkembangan fesyen pereka fesyen comel itu, Ainul berasakan rekaannya penuh perincian dan bersifat couture.

“Hatta seorang yang sangat cool dan saya senang bekerjasama dengannya buat kali pertama. Dia cukup dikenali dengan rekaan sarat perincian dan mampu membuatkan siapa yang terpandang rekaannya, terpaku seketika,” ungkap Ainul yang bakal memulakan penggambaran sebuah drama untuk slot Lagenda Januari ini.

Komen pemenang

Pengarah Urusan Lord’s Tailor, Robert Loh

KAMI sentiasa memberi sokongan dan tajaan kepada mana-mana acara yang membabitkan selebriti sebagai contohnya ABPBH. Kemenangan ini menjadi penanda aras untuk kami terus berusaha menghasilkan kualiti pakaian yang lebih baik. Kami akan cuba melakukan yang lebih baik pada masa depan.

Hatta Dolmat

KEMENANGAN hadiah terbesar buat saya bersempena hari lahir ke-26 pada 19 Disember lalu. Tidak sangka penutup tahun ini begitu membahagiakan saya biarpun tahun ini saya tidak lepas dihimpit kontroversi itu, ini yang cukup menduga diri saya. Saya berharap sinar 2009 terus terpancar untuk saya menghasilkan rekaan lebih kreatif.

Michael Shu

UNTUK kemenangan ini, saya bekerjasama dengan Lord’s Tailor dengan membekalkan rekaan dan fabrik bermotifkan batik sesuai dengan tema ABPBH 2007. Saya memuji usaha Berita Harian menganjurkan ABPBH, kerana terbukti mampu memperkenalkan pereka fesyen tempatan ke peringkat lebih tinggi. Saya sudah mula terbabit dengan industri fesyen sejak 11 tahun lalu, namun sejak dua tahun kebelakangan ini baru saya mula dikenali dan ini semuanya atas bantuan Berita Harian.

Berita Harian